Anggota TLDM Rela Sambut Aidilfitri Di LautDemi Jaga Perairan Negara

LUMUT — Demi memastikan perairan negara selamat dari ancaman musuh, anggota tentera laut diraja Malaysia (TLDM) meneruskan rondaan di lautan biru biarpun terpaksa melupakan hasrat untuk meraikan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi bersama keluarga tercinta.

Malah, pelayaran di perairan Selat Melaka merupakan tugasan penting bagi memastikan tiada cubaan memasuki perairan negara ketika umat Islam sedang berseronok menyambut Hari Raya Aidilfitri di seluruh dunia.

Bagi pegawai waran 2, Abu Seman Ahmad, 36, berkata tahun ini merupakan tahun ketiga dia menyambut Aidilfitri di atas kapal dan terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang yang menetap di Alor Setar, Kedah.

Abu Seman yang berkhidmat sebagai ketua jurutera marin, Kapal DiRaja (KD) Jerai berkata bagaimanapun dia bersyukur isteri dan dua anaknya memahami kerjayanya yang memerlukan pengorbanan besar dalam menjaga keselamatan negara sejak berkhidmat 18 tahun yang lalu.

“Setiap tahun, apabila hampir sahaja hari raya Aidilfitri atau Aidiladha, anak-anak akan bertanya sama ada saya balik atau pun tidak.

“Memang sedih tapi disebabkan telah biasa berjauhan, anak dan isteri faham dan menyokong kerjaya saya untuk berbakti kepada negara,”katanya ketika ditemui pemberita di KD Laksamana Tan Pusmah di sini semalam.

Bagi leftenan Muhammad Suhaimi Abd Malek, 28, pula, tahun ini adalah tahun pertama beliau menyambut hari raya Aidilfitri di atas kapal selain melakukan rondaan serta pengawasan di Selat Melaka.

Suhaimi berkata beliau dimaklumkan akan menyertai rondaan itu sejak dua minggu yang lalu selepas hampir kesemua persiapan hari raya Aidilfitri untuk keluarganya telah disiapkan.

“Bila dapat tahu saya perlu belayar semasa Aidilfitri, siapa tidak sedih tetapi disebabkan tugas dan tanggungjawab kerja, kita perlu mengutamakan tugas dari kepentingan peribadi.

“Cuma saya terlepas peluang untuk beraya tahun pertama bersama anak kelahiran sulung saya berumur tujuh bulan dan melihatnya di depan mata memakai baju raya yang dibeli baru-baru ini,” katanya yang merupakan pegawai peperangan elektronik KD Laksamana Tan Pusmah.

Sementara itu, panglima memerintah KD Laksamana Tan Pusmah, leftenan komander S. Sujiestheran berkata beliau akan memberikan masa kepada anak kapal beragama Islam bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir.

Sujiestheran, 33, berkata beliau dan anak kapal telah melakukan perancangan awal sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tanpa menganggu operasi rondaan pada hari tersebut.

“Kita menjangkakan malam sebelum hari raya Aidilfitri, kita akan membuat tahlil diikuti majlis makan malam.

“Pada keesokannya iaitu pada hari raya, anak kapal dan pegawai beragama Islam akan bersembahyang sebelum kita membuat sedikit sambutan menyambut Aidilfitri,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.