Ambil Peluang Kedatangan Syawal Eratkan Penyatuan – PM

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak berharap umat Islam sejagat khususnya di Malaysia menggunakan peluang bermaafan sempena Syawal ini dengan menganjurkan ke arah perdamaian dan penyatuan seperti yang diperintahkan Nabi Muhammad SAW.

Perdana menteri berkata sekiranya umat Islam alpa dan memilih untuk mengamalkan politik kebencian yang melampau, adalah tidak mustahil hubungan sesama umat Islam malah dengan bukan Islam di Malaysia juga akan menjadi lebih buruk.

“Kemenangan umat Islam hanya bermula apabila mereka saling memaafkan demi penyatuan yang utuh dan semangat kemaafan ini juga dianjurkan untuk hubungan sesama manusia tanpa mengira kepercayaan dan fahaman mereka,” katanya di blog NajibRazak.com.

Najib menarik perhatian bahawa apabila merenung keadaan umat Islam di serata dunia, amat sukar untuk menyatakan mereka sedang menang apabila melihat perbalahan yang berlaku dalam kalangan, baik di dalam mahupun luar negara.

“Situasi ini diburukkan lagi dengan persepsi sesetengah pihak luar yang menganggap Islam sebagai punca kebencian dan keganasan meskipun agama yang sudah lebih 1,400 tahun ini sentiasa menganjurkan kepada perdamaian dan penyatuan sebagai jalan terbaik penyelesaian konflik,” kata perdana menteri.

Beliau berkata hanya jiwa yang besar sahaja mampu memaafkan dan umat Islam yang berjiwa besar harus memilih jalan yang menjanjikan persefahaman dan bukan sentiasa mahu bercanggah pendapat hanya demi memuaskan kehendak sendiri. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.