Ambil Kira Makanan Yang Kita Makan Masa Raya Nanti

PETALING JAYA – Hari Raya Aidilfitri sepatutnya menjadi hari meraikan kemenangan bagi umat Islam selepas menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

Namun, keghairahan menjamah apa jua juadah tanpa penjagaan yang betul boleh memudaratkan kesihatan dan mengakibatkan ketidakselesaan badan.

Perunding kesihatan pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri berkata, secara kebiasaannya badan akan mengalami kejutan jika pemakanan tidak dikawal dan diambil pada kekerapan yang tinggi semasa menikmati hidangan hari raya.

“Badan yang terkejut akan menghantar isyarat seperti masalah penghadaman, keracunan makanan dan kembung perut.

“Tak salah kalau nak makan tapi kena seimbangkan makanan yang diambil. Janganlah tidak beraya pula,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu, pengambilan karbohidrat seperti nasi impit dan lemang lebih elok diutamakan sebelum menjamah sajian yang lain.

“Elakkan makan kuih raya sebelum makan makanan berat kerana ia tidak mengenyangkan. Isilah perut dengan protein seperti rendang ataupun lontong.

“Kalau sudah tahu akan beraya di banyak tempat, janganlah pakai baju ketat sangat nanti akan bagi tekanan pada bahagian abdomen. Lagi mudah rasa tak selesa,” katanya.

Kata Kevin, beliau akan memulakan rutin senaman pada hari kedua Syawal selepas berehat selama sebulan pada Ramadan lalu.

“Beraya tu beraya juga, tapi senaman jangan dilupakan kerana badan sudah makan macam-macam makanan.

“Bagi sesiapa yang beraya di kampung, boleh bangun lebih awal untuk bersenam. Contohnya, boleh lari kejar ayam, potong kayu atau mencakar sampah untuk mengeluarkan peluh,” kata Kevin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.