48,385 Saman Sepanjang Lima Hari Ops Selamat

SEBANYAK 48,385 saman membabitkan kesalahan melebihi had laju dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sepanjang lima hari Ops Selamat 11/2017 di seluruh negara yang bermula 18 Jun lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor berkata, jumlah itu adalah kesalahan yang paling tinggi direkodkan dalam enam kesalahan yang menjurus kepada kemalangan jalan raya.

Katanya, selain daripada melebihi had laju, enam kesalahan utama yang digariskan adalah memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, tidak patuh lampu isyarat dan menggunakan alat telekomunikasi.

“Jumlah saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sepanjang lima hari Ops Selamat adalah sebanyak 99,751 saman,”katanya pada sidang media di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Sementara itu, Shahrul memberitahu untuk tempoh yang sama, sebanyak 8,336 kemalangan direkodkan membabitkan 76 kemalangan maut di seluruh negara.

Katanya, walaupun jumlah kemalangan mencatatkan kenaikan sebanyak 688 kes berbanding tahun lalu namun jumlah kematian menurun 18 peratus kepada 76 individu.

“Penunggang dan pembonceng motosikal adalah penyumbang tertinggi kepada kadar kemalangan maut dengan 53 kematian.

“Manakala selebihnya membabitkan 13 pemandu dan penumpang kenderaan, empat pejalan kaki, satu basikal,” katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menuruti undang-undang yang ditetapkan.

Katanya,mengikut rekod yang diperolehi dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 27.3 juta kenderaan berdaftar di negara ini.

“Polis sentiasa bersiap sedia untuk membantu kelancaran lebuh raya dan memastikan catatan minimum kemalangan jalan raya di musim perayaan ini,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.