Polis Terima Tiga Lagi Laporan Peras Ugut – KPN

AMPANG – Polis menerima tiga lagi laporan daripada individu yang didakwa diperas ugut Pengerusi Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk Seri R Sri Sanjeevan selepas beliau ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memeras ugut seorang pengendali judi ekor tanpa lesen.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kertas siasatan telahpun dibuka terhadap dakwaan-dakwaan itu.

 

“Selepas tangkapan Sanjeevan, tiga orang telah tampil membuat laporan polis dan memberitahu bahawa mereka juga diugut oleh Sanjeevan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Go-To-Safety-Point di Stesen Petronas Kolam Ayer Lama, di sini, hari ini.

 

Ketika ditanya pemberita sama ada ketiga-tiga individu berkenaan juga pemilik pusat hiburan, Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

 

Pada Rabu, Sanjeevan ditahan bersama pemandunya, M Muthukumar, di kawasan Plaza Tol Nilai pada jam 10.50 malam di Nilai, Negeri Sembilan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti peras ugut.

 

Ia susulan laporan polis yang dibuat seorang pengadu bahawa Sanjeevan mengugut akan menyiarkan fitnah mengenainya melalui Facebook, jika tidak membayar wang perlindungan sebanyak RM25,000.

 

Suspek kini direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 kanun sama. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!