Tindakan DAP Boleh Naik Kemarahan Penyokong UMNO

KUALA TERENGGANU – Pemuda Umno Terengganu menganggap tindakan Kerajaan DAP merobohkan struktur logo Umno di Pulau Pinang baru-baru ini, boleh menaikkan kemarahan ahli dan penyokong Umno.

 

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sepatutnya mengeluarkan notis terlebih dahulu dan tidak mengambil tindakan secara mengejut.

 

Menurut beliau, sekiranya dilakukan dengan cara baik, tindakan tersebut tidak akan dilihat dari sudut negatif walaupun ia melibatkan isu politik serta agak sensitif bagi segelintir pihak.

 

“Kita tidak nafi tiada permit, tetapi tindakan yang diambil perlu diberi notis lebih awal. Kita tak mahu cakap mengenai undang-undang tapi perlakuan itu boleh timbulkan kemarahan ahli kerana mereka rasa tercabar,” katanya.

 

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan Umno diminta tidak politikkan isu roboh struktur logo Umno di Bangunan Umno, Jalan Macalister kerana tiada permit.

 

Ahli MBPP, Ong Ah Teong menjelaskan, pihaknya menjalankan tugas mengikut undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

 

Terdahulu, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menyelar tindakan pihak MBPP merobohkan struktur logo Umno dengan menyifatkan tindakan itu tidak mengikut prosedur dan dibuat secara tergesa-gesa.

 

Pada masa sama, Mohd Johari yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu yakin ahli Pemuda Umno khususnya dapat mengendalikan isu berbangkit secara matang tanpa perhimpunan jalanan atau perkara yang melanggar undang-undang.

 

Beliau bagaimanapun ingatkan mana-mana pihak agar tidak membangkitkan isu yang boleh menimbulkan sensitiviti kepartian, perkauman dan seumpamanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.