Kapal GO Phoenix Henti Operasi Pencarian Pesawat MH370

KUALA LUMPUR – Tiga kapal yang ketika ini terlibat dalam fasa satu operasi mencari pesawat MH370 yang hilang telah beredar dari lokasi pencarian di Lautan Hindi tetapi dua daripadanya akan kembali semula.

 

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, yang menyelia operasi mencari itu, berkata, GO Phoenix menghentikan operasi di laut dalam pada 20 Jun, susulan kontraknya dilaporkan telah tamat.

 

Dua lagi kapal, Fugro Discovery dan Fugro Equators, telah beredar dari kawasan itu bagi membuat kunjungan ke pelabuhan untuk mengisi semula bekalan, yang merupakan perkara rutin dan perlu dalam operasi mencari, menurut JACC dalam kenyataan.

 

“Bagi tempoh beberapa minggu akan datang, tiada kapal akan berada di kawasan pencarian kerana ia akan transit ke dan dari Pelabuhan Fremantle. Selepas mengisi semula bekalan, kedua-dua kapal akan kembali ke kawasan pencarian,” menurut agensi itu.

 

Sabtu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, fasa satu misi mencari melibatkan kawasan seluas 60,000 km persegi di Lautan Hindi akan selesai menjelang akhir bulan ini.

 

Beliau dipetik sebagai berkata, Malaysia komited untuk meneruskan misi mencari ke fasa dua yang melibatkan tambahan kawasan seluas 60,000 km persegi.

 

JACC berkata, lebih 50,000 km persegi dasar laut telah diliputi setakat ini.

 

“Operasi mencari akan diteruskan pada musim sejuk tetapi penangguhan dijangkakan,” katanya.

 

Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada skrin radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada pagi 8 Mac tahun lalu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.