Indonesia Tidak Percaya 8 Lanun Rampas Kapal MT Orkim Harmony Rakyatnya

JAKARTA – Kementerian Luar Indonesia masih enggan percaya lapan lelaki yang ditangkap pihak berkuasa Vietnam kerana merompak kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony adalah warganya.

 

Pejabat Konsul Indonesia di Ho Chi Minh Jean Anes berkata, pihaknya menerima laporan daripada polis Vietnam mengenai butir lapan lelaki yang ditangkap itu, tetapi akan menyiasat lebih mendalam untuk mengesahkan mereka warga Indonesia atau tidak.

 

Polis Vietnam sebelum ini berkata, kelapan-lapan yang ditahan itu mengaku warga Indonesia.

 

Mereka sebahagian daripada 13 orang yang didakwa merompak kapal tangki MT Orkim Harmony ketika ia dalam pelayaran membawa 6,000 tan petrol bernilai RM21 juta ke Pelabuhan Kuantan dari Melaka pada 11 Jun lalu.

 

Menteri Luar Retno Lestari Priansati Marsudi berkata di Jakarta semalam, pihaknya akan melakukan siasatan lebih terperinci sebelum mengesah atau menafikan kelapan-lapan lanun itu warga Indonesia.

 

Katanya, jika didapati mereka sah rakyat negara itu, kerajaan Indonesia akan menyediakan peguam untuk membela mereka.

 

Menurut Retno, kementeriannya tidak dapat mengesahkan kelapan-lapan orang itu warga Indonesia kerana status mereka setakat ini hanya berdasarkan pengakuan ketika disoal siasat oleh polis Vietnam. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.