Dokumen Urusniaga 1MDB-PetroSaudi Telah Diubah Suai

Dokumen berkenaan urusniaga syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi pada 2009 seperti didedahkan portal Sarawak Report, melalui proses pengeditan sebelum dipaparkan, kata sebuah firma keselamatan siber hari ini.

 

Akhbar New Straits Times (NST) memetik Protection Group International (PGI) sebagai berkata data itu dicuri daripada PetroSaudi dan diedit sebelum dimuat naik ke internet.

 

“Penyiasatan kami masih berjalan, tetapi jelas kami sedang melihat kes kecurian data yang besar dan analisis kami menyimpulkan (Xavier Andre) Justo adalah sumber data yang dimuat naik Sarawak Report,” kata pakar firma itu.

 

“Contohnya, apabila kita melihat fail PowerPoint di blog Sarawak Report, kami menemui bukti dalam metadata fail ianya diuruskan oleh ‘xavierj’ pada 2013; dua tahun selepas Justo meninggalkan PetroSaudi, dan empat tahun selepas fail asli direka oleh firma guaman yang menjadi penasihat PetroSaudi,” katanya merujuk bekas pakar IT PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, yang ditahan polis Thailand Isnin lalu.

 

“Juga jelas data yang dicuri tidak lengkap, dan melalui proses suntingan selepas dikeluarkan daripada sistem PetroSaudi sebelum dimuat naik ke internet.

 

“Terdapat banyak kecelaruan antara data yang dimuat naik dan data yang masih ada dalam fail bersama PetroSaudi ketika itu. Ringkasnya, data itu tidak lengkap, dipilih dan diedit untuk mengikut kemahuan naratif.”

 

PGI diupah bagi menjalankan siasatan terhadap sumber data yang dimuat naik di internet dan mengesahkan keasliannya, lapor NST.

 

Justo, seorang warganegara Switzerland dan bekas kakitangan PetroSaudi ditahan di sebuah rumah di Koh Samui, Thailand, pada Isnin bersama komputer, pemacu cakera keras dan alat penyimpanan data lain.

 

Komander Polis Thailand Cawangan Jenayah Pemerasan Kolonel Akaradech Pimonsri, berkata, Justo dibayar kira-kira 140 juta baht (RM15 juta) untuk meninggalkan PetroSaudi selepas didapati “bersikap menentang peraturan dan dasar syarikat”.

 

Bangkok Post berkata, polis Thailand percaya Justo mendedahkan maklumat PetroSaudi kepada “laman portal berpangkalan di UK” yang dikenali sebagai Sarawak Report.

 

Sementara itu, pakar PGI berkata kebocoran yang ditemui dalam Sarawak Report adalah “kes yang sama” melalui penerbitan data melalui kaedah suntingan dan penipuan untuk memberikan berita yang memusnahkan.

 

Beliau berkata, kes seperti itu biasanya dilakukan pekerja yang tamak memindahkan data sulit dan menerbitkannya atau mengancam untuk menerbitkannya bagi kepentingan peribadi.

 

“Dalam kes ini, apa yang bermula sebagai cerita ringkas kepentingan peribadi oleh bekas pekerja menjadi cerita bermotifkan politik melalui blog online yang tidak bertanggungjawab.

 

“Siasatan kami setakat ini menjurus ke arah itu, daripada forensik dan perspektif pakar, maklumat diterbitkan di Internet seharusnya dianggap tidak selamat oleh mereka yang ingin melakukan rumusan daripadanya,” katanya. –M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.