DEB Berjaya Kurangkan Jurang Kemiskinan -Tun Mahathir

SHAH ALAM – Menerusi coretan terbaharu di blognya, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis tentang bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) mampu mengekang jurang kekayaan di antara masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

 

Perkara itu kata Dr Mahathir, turut diakui sebuah majalah dari Amerika Syarikat, ‘Foreign Affairs’ yang merujuk tentang bagaimana di bawah DEB, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik daripada kebanyakan negara-negara membangun.

 

“Ada disebut juga bahawa Bumiputera memiliki hanya 2 peratus kekayaan negara sebelum DEB dan kekayaan mereka kini telah meningkat kepada 19 peratus. Perbezaan itu masih ada tetapi berkurangan. (Di Amerika Joseph Stiglitz menulis bahawa jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin telah mencapai tahap yang berbahaya),” tulis Dr Mahathir.

 

Menurut majalah itu lagi, India dan Afrika Selatan juga telah mencuba tindakan afirmatif itu, namun hasilnya tidak sebaik di Malaysia.

 

“Nampaknya Malaysia lebih berjaya dalam membina masyarakat berbilang kaum yang lebih saksama daripada kebanyakan negara-negara berbilang kaum yang lain termasuk Amerika Syarikat. Dasar kesamarataan layanan iaitu meritokrasi tidak membuahkan hasil yang ketara.

 

“Majalah ‘Foreign Affairs’ seolah mengakui bahawa tindakan afirmatif Malaysia mempunyai merit. Sepertimana terdapat perubahan pendapat mengenai dasar kadar pertukaran tetap Malaysia, kini terdapat juga perubahan kutukan mengenai tindakan afirmatif kita, sekurang-kurangnya oleh Majalah ‘Foreign Affairs’,” tulisnya lagi.

 

Tampuk pemerintahan yang bertukar tangan menyaksikan DEB digantikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010.

 

Walaupun MEB masih lagi meneruskan agenda pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat di Malaysia, namun cara pelaksanaannya adalah baharu.

 

Kaum Melayu dan bumiputera dikatakan cemas dan skeptikal tentang MEB kerana model ekonomi itu tidak menyatakan kuota 30 peratus dalam pemilikan ekonomi, sebaliknya memperkenalkan meritokrasi dan ketelusan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.