Ayah Pasti Sokong Tubuh Parti Baru, Kata Anak Fadzil Noor

Pas perlu diganti dengan parti baru kerana perjuangannya sudah terpesong dari matlamat asal penubuhan, kata ahli Pas Kawasan Rembau, Muhammad Faiz Fadzil.

 

Beliau berkata, walaupun arwah ayahnya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah memimpin Pas suatu ketika dahulu tetapi keadaan ketika itu dengan sekarang jauh berbeza.

 

“Itu keadaan ketika itu, tapi keadaan sekarang lain. Ahli dan rakyat hendakkan parti baru kerana Pas sekarang sudah terpesong dari peta perjuangan menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

 

“Dalam keadaan rakyat dahagakan sebuah pemerintahan baru yang bersih, adil dan berkebajikan melibatkan penyertaan semua kaum, maka parti baru yang memperjuangkan semua prinsip Islam serta aspirasi rakyat wajib ditubuhkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Muhammad Faiz yang juga seorang peguam berkata, parti baharu itu akan meneruskan perjuangan menentang UMNO dan BN, di samping mendaulatkan Islam.

 

Jelas beliau, perjuangan parti baharu itu akan menyelamatkan ahli parti yang masih keliru dengan halatuju politik Pas sekarang.

 

“Saya percaya arwah ayah pasti menyokong penubuhan parti baru yang didokongi oleh pemimpin yang dilahirkannya suatu ketika dahulu dan banyak berjasa kepada parti. Arwah ayah antara pemimpin di zaman 70-an yang lantang menentang kemasukan Pas dalam Perikatan yang kemudiannya ditukar kepada BN,” katanya.

 

Kata beliau, adalah jelas perjuangan Allahyarham Fadzil istiqamah menentang UMNO dan BN serta merencana pelbagai strategi politik dengan menarik golongan profesional menyertai Pas.

 

Menurutnya, tindakan bapanya itu adalah untuk memadamkan fahaman ahli terhadap Amanat Hadi dan tahaluf syiasi dengan Angkatan Parpaduan Ummah serta Barisan Alternatif. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.