KUALA LUMPUR — Kerajaan berjaya mengawal kebergantungan kepada hutang negara melalui inisiatif konsolidasi fiskal apabila defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 menurun kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, kata penganalisis.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berpandangan biarpun inisiatif berkenaan belum memasuki suku kedua, namun pelaksanaannya telah mencapai dasar kewangan dan ekonomi kerajaan dengan pengukuhan fiskal kekal.
“Tepat sekali pengurangan defisit itu adalah daripada hasrat kerajaan mengumumkan bajet 2025 pada Oktober yang lepas ingin mengurangkan defisit fiskal ini daripada 4.3 kepada 3.8 peratus defisit jadi nampaknya strategi itu berjaya.
“Strategi utamanya ialah untuk menambahkan pendapatan negara terutamanya sekali melalui kutipan cukai secara langsung maksudnya memperkukuhkan terutama sekali bukan kepada cukai individu, cukai individu ini diperkukuhkan kepada kumpulan T20 dimana mereka menyumbangkan banyak cukai, tetapi kepada peniaga peniaga sektor perniagaan terutama sekali untuk menambahbaik pengamalan SST itu sendiri.
“Jadi pengurangan fiskal ketika ini walaupun belum nampak banyak lagi, tetapi hanya baru memasuki atau belum lagi suku kedua atau pertengahan tetapi menunjukan strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menambahkan pendapatan itu adalah menjadi,” jelasnya ketika dihubungi Suara TV hari ini.
Beliau yang juga Felo Majlis Profesor Negara itu turut menjangkakan defisit fiskal 3.8 akan dapat dicapai menjelang akhir tahun ini dengan strategi inisiatif konsolidasi fiskal yang telah dilaksanakan akan oleh kerajaan.
“Dan harapannya ialah menjelang hujung tahun ini fiskal defisit 3.8 peratus itu saya pasti akan dapat dicapai kalau strategi itu diteruskan yang mana kesemua pihak mengambil tindakan dan tanggungjawab untuk menambahkan pendapatan negara terutama sekali dari pihak Kastam Diraja Malaysia yang menguruskan urusan cukai di pihak peniaga itu
“Jadi ini keputusan membersangsangkan dimana apa yang dijanjikan dalam strategi bajet dilaksanakan oleh agensi agensi yang berkaitan,” katanya.
Untuk rekod, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.
Menurutnya, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.