KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak yang mengecam Nurul Izzah yang kini menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR sudah melalui proses demokratik namun terus dilempar tuduhan nepotisme.
Sedangkan kata Anwar menghimbau kembali saat isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tampil menakhodai PKR pada waktu paling getir, tatkala seluruh instrumen kekuasaan digunakan untuk memadam obor perjuangan PKR.
Ketika itu, katanya tidak pula kedengaran suara melontarkan tuduhan nepotisme.
“Menjawab dakwaan nepotisme yang dimainkan sesetengah pihak, saya menghimbau kembali saat Azizah tampil menakhodai parti ini di waktu paling getir, tatkala seluruh instrumen kekuasaan digunakan untuk memadam obor perjuangan PKR. Ketika itu, tidak kedengaran sebarang suara melontarkan tuduhan nepotisme.
“Namun apabila Izzah mara menerusi proses demokratik dan meraih sokongan anggota parti secara terbuka, tuduhan ini tiba-tiba dimainkan.
“PKR tidak boleh terperangkap dalam naratif musuh. Kewibawaan Izzah, seperti mana pimpinan lain, wajar dinilai dengan adil berasaskan kekuatan dan sumbangannya pada perjuangan kita.
“Kita mesti tegas melawan naratif yang cuba memutarbelit perjuangan kita. Kita tidak takut diuji, kerana PKR lahir daripada ujian. Kita tidak gentar dikecam, kerana PKR diasaskan atas keberanian untuk melawan kezaliman dan ketidakadilan,” tegas Perdana Menteri dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu Anwar juga menyeru dengan penuh keinsafan dan harapan agar pimpinan dan anggota parti terus mengangkat tinggi prinsip PKR, memperkukuh integriti, dan dengan tegas menolak politik sempit berasaskan perkauman serta fitnah yang menjadi mainan pihak pembangkang.
“PKR bukan sekadar sebuah parti politik ia adalah sebuah wadah perjuangan yang dibina atas keringat, air mata, dan keyakinan rakyat bahawa negara ini mampu diurus dengan lebih adil, saksama, dan berprinsip.
“Justeru, kesetiaan kita tidak harus berpaksi kepada individu, sebaliknya kepada idealisme perjuangan ini.
“Ayuh kita bangkit bersama, bergerak sederap, dan mengukuh kembali saf perjuangan agar kita lebih bersedia menghadapi medan pilihan raya yang penuh cabaran.
“PKR akan terus menjadi suara rakyat dengan mengangkat agenda ekonomi yang membela golongan rentan, meroboh tembok penindasan dan tekal memacu reformasi serta tadbir urus yang lebih telus, bersih dan berwibawa. Perjuangan ini belum berakhir, kata Anwar sambil melaungkan reformasi dan kita PKR.