Anak FELDA melangkah ke Prague, “Desaku Mendunia”

- Advertisement -

Cyberjaya 24 Mei 2025 – Dalam usaha memperkasa generasi muda peneroka dan mengangkat martabat komuniti FELDA ke persada antarabangsa, seramai 53 pelajar dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 MRSM FELDA (MARESMAF) telah dipilih untuk menyertai MAWO – MARESMAF Wind Orchestra, yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij International Festival of Wind Orchestra di Prague, Republik Czech pada 20 dan 21 Jun 2025.

Penyertaan dalam festival berprestij ini bukan sekadar pencapaian luar biasa dalam dunia muzik, malah melambangkan kejayaan FELDA dalam membina generasi muda yang memiliki bakat, daya saing serta keyakinan tinggi untuk tampil di peringkat global. Lebih dua pertiga anggota orkestra ini adalah cucu kepada peneroka FELDA, dan kebanyakan mereka hanya mula mengenal muzik ketika menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Namun hasil bimbingan intensif dan semangat yang tidak pernah luntur, mereka kini bersedia untuk beraksi setanding rakan-rakan mereka dari negara-negara seperti Jerman, Austria, Hungary, Poland dan Switzerland.

Apa yang menjadikan MAWO begitu istimewa bukan sekadar jumlah peserta yang ramai, tetapi kisah di sebalik pembentukan mereka. Ramai di antara mereka berasal dari kawasan luar bandar – dari Kedah, Kelantan, Johor dan Pahang – yang dahulunya tidak pernah mengenal konsep orkestra tiupan angin, apatah lagi menyentuh alat muzik seperti saxophone, trombone dan clarinet. Namun hasil dedikasi para guru muzik serta sokongan padu FELDA, mereka telah membentuk sebuah kumpulan yang kini diiktiraf mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Latihan berbulan-bulan yang dijalankan secara intensif bukan sahaja memupuk kemahiran teknikal bermain muzik, tetapi turut membentuk disiplin, semangat kerja berpasukan dan jati diri sebagai anak bangsa yang membawa nama Malaysia. Dalam konteks ini, MAWO bukan sekadar sebuah kumpulan muzik, tetapi manifestasi kepada cita-cita besar FELDA untuk melahirkan anak peneroka yang mampu bersaing dalam pelbagai bidang termasuk seni dan budaya.

Sebagai penghargaan kepada pasukan MAWO dan dalam usaha mengangkat semangat anak FELDA yang mengharumkan nama negara, satu konsert khas bertajuk “Desaku Mendunia” akan diadakan pada 27 dan 28 Mei 2025 di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri.

Konsert ini dianjurkan oleh FELDA dengan kerjasama RTM dan Kementerian Komunikasi, dan bakal menjadi pentas istimewa yang menyaksikan persembahan MAWO bersama barisan artis terkenal seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang Khalifah, serta bintang-bintang FELDA seperti Zam dan Along dari program Feel Da Starz, dan kumpulan Zeppo Youngster, pemenang beberapa pertandingan silat dan tarian di peringkat antarabangsa.

Lebih istimewa, konsert ini juga akan menjadi platform pelancaran rasmi Mega Karnival 3 Dimensi (3D) – sebuah inisiatif besar-besaran FELDA yang menghimpunkan tiga program utama negara:

  • Hari Peneroka FELDA (HPF) – meraikan warisan dan sumbangan peneroka kepada pembangunan negara,
  • Karnival Usahawan Desa (KUD) – memacu keusahawanan luar bandar, dan
  • Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) – mengetengahkan produk tempatan berkualiti tinggi dari seluruh pelusuk negara.

Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Pelancaran ini menandakan permulaan kepada bulan promosi Mega Karnival 3D, yang akan berlangsung pada bulan Julai 2025 dan dijangka menjadi antara acara terbesar dalam kalendar FELDA.

Pemilihan lokasi konsert iaitu Auditorium Seri Angkasa bukanlah secara kebetulan. Auditorium ini merupakan salah satu venue terbaik di Asia Tenggara untuk persembahan muzik dan konsert orkestra. Jika dahulu nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza mencipta sejarah apabila membuat persembahan di Royal Albert Hall, London, maka kini anak-anak FELDA menjejak langkah serupa di pentas berprestij tanah air sebelum membawa bakat mereka ke benua Eropah.

RTM dan Kementerian Komunikasi turut memainkan peranan penting dalam menjayakan konsert ini. Menteri Komunikasi sendiri yang mempunyai latar belakang keluarga FELDA memberikan sokongan penuh, malah mengarahkan seluruh ekosistem RTM agar membantu menjayakan acara ini sebagai simbol kebangkitan generasi baharu FELDA.

gambar dari Jabatan Komunikasi Stategik FELDA

Acara ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan pelbagai pihak. Penaja utama seperti U Mobile, FGV Holdings Berhad, Sustainable Future (SF) serta Hotel Seri Pacific telah menyumbang dana, fasiliti dan sokongan logistik bagi memastikan kejayaan konsert serta penyertaan MAWO ke Prague. Lebih membanggakan, hampir separuh kos penyertaan ditanggung oleh pihak penaja, menandakan keyakinan pihak korporat terhadap potensi anak FELDA.

MAWO dan konsert “Desaku Mendunia” bukan hanya tentang muzik – ia adalah tentang harapan, semangat dan cita-cita. Ia adalah kisah tentang bagaimana sebuah komuniti luar bandar mampu melangkah ke pentas global melalui pendidikan, seni dan dedikasi. Dalam era di mana kejayaan sering diukur dengan pencapaian akademik semata-mata, MAWO membuktikan bahawa seni juga mampu membentuk insan luar biasa.

FELDA kini bukan sahaja menjana pembangunan fizikal dan ekonomi – tetapi membina manusia, mencipta masa depan, dan membuktikan bahawa “Desa juga mampu mendunia.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat