Suspek Pendatang Asing Lukis ‘MyKad’ Miliknya Di Mahkamah

KOTA KINABALU – Mahkamah semalam dikejutkan apabila seorang lelaki yang dituduh pendatang tanpa izin mengemukakan kepada hakim gambar lukisan tangan dirinya apabila diminta menunjukkan MyKad.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azreena Aziz tampak tidak gembira apabila Issam Bakri, 42 mengemukakan gambar lukisan tangan dirinya sebagai bukti bagi menyokong dakwaan bahawa beliau rakyat Sabah.

“Ini MyKad anda?”, tanya hakim, apabila ditunjukkan lukisan lelaki berambut tegak dan berbaju kemeja, dengan dua tompokan cakaran berbentuk bulat di kiri dan kanan lukisan itu mewakili cap jari.

Issam mengaku tidak bersalah apabila beliau pertama kali didakwa pada 26 April kerana tidak memiliki dokumen pengenalan sah untuk tinggal di Sabah. Beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan kepadanya semalam.

Dengan muka selamba, beliau mendakwa memiliki dokumen yang diperlukan bagi menafikan tuduhan, dan dengan kebenaran mahkamah, mengeluarkan lukisan tersebut dari poket seluarnya.

Aktiviti di mahkamah tiba-tiba terhenti apabila pegawai pendakwa Sabrina Jinius menyerahkan “MyKad” itu kepada Azreena.

Hakim bertanya Issam 3 kali sama ada kertas itu merupakan dokumen yang dimaksudkannya, dan Issam mengiyakannya sebanyak 3 kali juga.

Azreena kemudiannya memerintahkan Issam dihantar ke hospital sakit jiwa Bukit Padang untuk menjalani pemeriksaan mental. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.