Sasar 100,000 Muat Turun ‘Mak Cun’s Adventure’

KUALA LUMPUR – Media Prima Labs mensasarkan permainan digital terbaru, ‘Mak Cun’s Adventure’, yang diadaptasi daripada siri drama TV popular, Mak Cun, bakal mencapai 100,000 muat turun dalam tempoh tiga bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali, berkata pihaknya yakin sasaran terbabit mampu dicapai berikutan permainan mudah alih itu kini mendapat sambutan amat menggalakkan kalangan peminat permainan digital.

“Permainan ‘Mak Cun’s Adventure’ yang terdapat dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sudah berada di Google Play Store dan Apple App Store sejak dua minggu lalu.

“Sambutannya amat hebat dengan mencatat kira-kira 5,000 muat turun setakat ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran permainan digital ‘Mak Cun’s Adventure’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Produk Media Prima Labs, Melissa Woo dan teraju utama drama Mak Cun iaitu pelakon Erma Fatimah serta Betty Rahmad

Beliau berkata, permainan itu merangkumi 30 tahap menjanjikan tarikan dan cabaran baru kepada pemain pada setiap peringkat.

“Mak Cun’s Adventure’ ini seperti ‘Diner Dash’ yang popular tetapi dalam versi tempatan, ia menampilkan watak utama Mak Cun yang mana anda (pemain) membantunya menyiapkan pesanan pelanggan warungnya.

“Menariknya permainan ini ialah ia menguji kepantasan dan cara menyusun strategi untuk menyediakan menu tempatan seperti nasi lemak, char koay teow hingga nasi campur.

“Saya yakin permainan ini bakal mendapat sambutan menggalakkan kalangan peminat permainan digital berumur 12 tahun ke atas,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafiq berkata pihaknya terharu diberi kepercayaan membangunkan permainan untuk jenama Mak Cun.

“Kita memilih drama Mak Cun ini berikutan popularitinya kalangan penonton di negara ini yang kini memasuki musim keempat dan permainan ini berupaya memberi nilai tambah kepada jenama Mak Cun.

“Keistimewaan permainan ini adalah unsur tempatan yang diterapkan dalam permainan ini. Daripada latar kampung yang membangkitkan ‘mood’ drama Mak Cun itu sendiri hingga ke menu kegemaran rakyat Malaysia,” katanya.

Rafiq berkata, penghasilan permainan mudah alih ‘Mak Cun’s Adventure’ diyakini berupaya memperluaskan lagi empayar Mak Cun seperti produk permainan lain yang dihasilkan termasuk J Revolusi dan Agen Ali.

“Untuk rekod, Agen Ali setakat ini mencapai empat juta muat turun hingga menembusi pasaran Indonesia,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.