Lelaki Cop Duit Palsu Kantoi Ketika Beli Telefon

BAGAN SERAI – Ibarat adegan dalam filem Hollywood ‘Catch Me If U Can’ lakonan pelakon terkemuka, Leonardo Di Caprio dan Tom Hanks, namun kali ini, aktiviti pencetakan duit palsu dilakukan dalam skala besar oleh orang tempatan sendiri.

Lebih mengejutkan, dua suspek lelaki terlibat dalam jenayah itu mengaku mencetak duit palsu RM100 bukan sedikit setiap hari, namun mencecah nilai RM2,000.

Agak menarik, dua suspek terbabit bertindak cuba ‘mencuci’ wang palsu berkenaan melalui aktiviti pembelian dan penjualan semua telefon pintar sebelum berpindah ke tempat lain sekiranya aktiviti mereka mula dihidu peniaga tempatan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob menegaskan perbuatan licik dua lelaki berkenaan akhirnya mengundang padah apabila wang palsu digunakan dalam satu transaksi jual beli telefon pintar dihidu pemilik premis sebelum diberkas polis, Isnin lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3 petang itu, dua suspek berumur 26 dan 36 tahun itu difahamkan membuat pembelian telefon pintar di sebuah premis di Jalan Pasar,di sini.

Omar Bakhtiar berkata, suspek menyerahkan wang tunai berjumlah RM600 iaitu empat keping wang kertas RM100 dan empat keping wang kertas RM50 sebelum berlalu pergi.

“Setelah suspek keluar dari premis itu, pekerja premis mengesyaki empat keping duit RM100 yang diterimanya adalah palsu berikutan mempunyai nombor siri sama.

“Majikan premis terbabit yang dimaklumkan kejadian itu kemudiannya bertindak melaporkan kes itu kepada polis.

“Polis kemudiannya berjaya mengesan dan menangkap suspek yang pada ketika itu masih berada di sekitar kawasan premis terbabit dan sedang leka membuat urusan pembelian telefon pintar di sebuah lagi premis dimiliki pemilik sama,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian), semalam.

Omar Bakhtiar berkata, sewaktu tangkapan dibuat ke atas kedua-dua suspek, polis menemui sekeping duit kertas RM100 sama berada pada salah seorang suspek.

Menurutnya, pemeriksaan susulan pihaknya di dalam kereta suspek pula menemui enam telefon pintar pelbagai jenama, dua buah komputer riba dan enam botol penyembur lutsinar.

“Polis kemudiannya menyerbu rumah inap desa disewa dua lelaki berkenaan dua hari lalu.

“Pemeriksaan lanjut di situ menemui 36 keping wang RM 100 sama bersama pelbagai peralatan pencetakan seperti mesin pencetak, alat tulis, kertas dan pelbagai lagi.

“Berdasarkan pengakuan dibuat suspek, mereka dikatakan mampu mencetak sekurang-kurangnya 2,000 keping wang palsu matawang kertas RM100 sehari,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, modus operandi dua suspek itu adalah menggunakan wang palsu dicetak untuk membeli telefon pintar di premis-premis kecil sebelum menjualnya semua bagi tujuan ‘mencuci’ wang palsu berkenaan bagi dijadikan wang sebenar.

Menurutnya, suspek dikatakan sering berpindah randah ke seluruh Malaysia bagi menjalankan kegiatan mereka dan wang palsu digunakan mereka difahamkan sudah tersebar ke seluruh Malaysia.

“Kedua-dua suspek turut mempunyai kes jenayah lampau manakala suspek utama berusia 36 tahun ini baru sahaja keluar dari penjara pada tahun 2016 atas kesalahan sama.

“Berdasarkan kualiti wang palsu dihasilkan dua suspek berkenaan, polis mempercayai ianya dihasilkan dengan begitu mahir apabila sukar untuk mengetahui perbezaannya sekiranya wang itu tidak diteliti lebih terperinci.

“Selain itu, suspek utama berusia 36 tahun turut melakukan aktiviti jenayah itu dengan membawa isteri bersama lima anaknya termasuk tiga yang tidak bersekolah,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.