Azlan Man Dilantik Semula Sebagai MB Perlis

ARAU – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man dilantik sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua di Istana Arau di sini hari ini, tanpa kehadiran sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Pelantikan Azlan berusia 60 tahun itu, diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah pada pukul 11 pagi.

Azlan yang berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti Denver, Amerika Syarikat (AS) memulakan tugas beliau sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Beliau pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di AS pada 1999.

Pada 2003, Azlan kembali ke Malaysia dan menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam sehingga bersara untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kemelut pelantikan Menteri Besar yang telah memasuki tempoh dua minggu semalam sejak 9 Mei lalu, berakhir apabila jawatan nombor satu negeri itu dikatakan akan dimuktamadkan di Istana Arau, hari ini.

Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berkenaan bagi penggal yang baharu itu akan dilaksanakan di Balai Menghadap istana tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu surat jemputan kepada pihak media pada hari ini.

Kelmarin, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyembah menghadap Tuanku Syed Sirajuddin dipercayai untuk menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar di Istana Arau.

Turut mengiringi Ahmad Zahid ialah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Walau bagaimanapun Ahmad Zahid yang ditemui wartawan di luar istana itu, enggan mengulas hasil pertemuan tersebut sebaliknya hanya melambai-lambaikan tangan dan mengucapkan terima kasih.

Kemelut pelantikan Menteri Besar, seakan-akan menyamai situasi serupa pada 2008 yang mengambil masa selama dua minggu sebelum kerusi nombor satu negeri itu dimuktamadkan.

Sehingga hari ini, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.

Persoalan timbul kerana Barisan Nasional (BN) telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu.

Sebelum ini, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya, Datuk Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Difahamkan, walau bagaimanapun perkara itu tidak diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin menyebabkan isu berkenaan berlarutan sehingga kini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.