Ambil Kira Untung Nasib Guru Al-Quran Yang Ditamatkan Kontrak – Tok Pa

KOTA BHARU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed melahirkan rasa sedih di atas tindakan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak menyambung kontrak 3,075 penggerak masyarakat di Kelantan, terdiri daripada guru al-Quran.

Menurutnya guru al-Quran yang mengajar di kampung seluruh Kelantan sebelum ini diberikan elaun RM400 sebulan sebagai menghargai jasa mereka memperkembangkan al-Quran kepada anak-anak di seluruh negeri.

Kata beliau, mereka juga terdiri daripada ibu, bapa dan warga emas yang telah 20 tahun mengajar al-Quran kepada anak-anak di rumah, sekolah dan juga surau terpilih di seluruh Kelantan.

“Kita harap Kerajaan Pakatan Harapan mengambil kira nasib mereka sebab ada antara mereka terpaksa pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memohon bantuan kerana bagi setengah mereka inilah satu-satunya mata pencarian dengan melakukan kerja dakwah mengajar al-Quran.

“Elaun RM400 adalah satu habuan kecil berbanding sumbangan mereka maka kita merayu supaya Kerajaan Persekutuan melihat semula perkara ini,” katanya selepas menghadiri solat hajat dan majlis berbuka puasa bersama sebahagian penggerak masyarakat di Kelantan di sini pada Rabu.

Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, penggerak masyarakat ini ditamatkan kontrak mereka seminggu selepas Kerajaan Persekutuan baharu ditubuhkan tetapi sempat menikmati elaun terakhir pada April lepas.

Katanya beliau memahami dasar Kerajaan Persekutuan namun pada masa yang sama perlu melihat peranan golongan penggerak masyarakat ini yang kebanyakannya merupakan mereka yang berada di bawah garis kemiskinan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.