KPDNKK Rampas Komputer, Perisian Cetak Rompak Bernilai RM741,300

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 76 salinan perisian komputer cetak rompak dan enam komputer dianggarkan bernilai RM741,300 dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram, di sini, dua hari lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat berkata serbuan yang dijalankan pada 22 dan 23 Mei itu dijalankan berikutan aduan daripada Business Software Alliance (BSA) mengenai kegiatan cetak rompak yang dilakukan dua premis perniagaan di Ulu Tiram itu.

“Kesemua serbuan yang dijalankan telah mendapat makluman daripada BSA di mana kita telah merampas perisian cetak rompak dengan jenama Adobe, Autodesk dan Microsoft yang kesemuanya didaftarkan di bawah BSA.

KPDNKK akan meneruskan usaha-usaha melindungi harta intelek daripada disalah guna oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab di bawah Akta Hakcipta 1987. Kementerian juga tidak akan berkompromi sekiranya ada premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti cetak rompak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, mana-mana premis perniagaan, organisasi atau individu yang didapati memiliki dan menggunakan perisian cetak rompak boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 iaitu denda sehingga RM20,000 bagi setiap perisian cetak rompak selain dipenjara lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

“Meskipun kes sebegini jarang berlaku di dalam negeri Johor tetapi ia bukanlah satu perkara yang kita boleh banggakan dan kita di pihak KPDNKK akan melipatgandakan usaha untuk membanteras perkara ini selain mengingatkan pengusaha-pengusaha di luar sana bahawa kita sentiasa memerhati pergerakan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan BSA Asia Pasifik, Tarun Sawney dalam satu kenyataan mengucap tahniah kepada KPDNKK atas tindakan pantas kementerian itu dalam membendung gejala berkenaan daripada berlarutan.

“Dalam kajian yang dijalankan oleh BSA pada 2015, terdapat masih ramai pengguna perisian cetak rompak di dalam Malaysia di mana kadar pemasangan perisian cetak rompak adalah berada pada paras 53 peratus dengan nilai komersial sebanyak AS$456 juta (AS$1=RM4.30).

“Saya menyeru kepada perusahaan atau perniagaan untuk memastikan perisian yang mereka gunakan adalah tulen dan berdaftar bagi mengelakkan risiko serangan siber. Kegagalan berbuat demikian hanya akan memberikan kerugian yang lebih besar kepada diri mereka sendiri,” jelasnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.