Waspada Mi Kari Kuah Babi Di Kuala Kangsar

IPOH ― Sebuah premis menjual mi kari di Kuala Kangsar disiasat setelah didakwa menggunakan sup babi sebagai ramuannya.

 

Susulan itu seorang exco kerajaan Perak mengingatkan pekerja dan penyokong parti yang berkempen pada pilihan raya kecil di sini, mulai 5 Jun, agar berhati-hati memilih kedai makan.

 

Premis yang beroperasi sejak beberapa puluh tahun lalu dan turut dikunjungi pelanggan Islam diserbu penguatkuasa negeri kelmarin, lapor akhbar Sinar Harian.

 

“Serbuan dibuat Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dua hari lalu.

 

“Hasil serbuan kita dapati kedai itu tidak mempunyai sijik halal dan pengusaha premis berkenaan merupakan orang bukan Islam,” kata exco usahawan dan koperasi.

 

Datuk Samsudin Abu Hassan juga berkata kerajaan edang melakukan siasatan terperinci tentang dakwaan itu dan, sekiranya terbukti, premis berkenaan boleh dikenakan tindakan.

 

“Bukan sahaja berkaitan sup babi tetapi ada tiga pekerja Melayu yang bekerja di situ dan ia nampak hendak mengaburi mata orang ramai yang datang ke premis tersebut,” tambahnya.

 

Beliau menasihati orang awam terutamanya Islam yang datang ke Kuala Kangsar sempena pilihan raya kecil 18 Jun ini agar berwaspada dengan premis yang tiada logo halal.

 

“Kalau boleh carilah premis makanan yang diusahakan orang Islam,” katanya.

 

“Kalau rasa was-was dengan kedai makanan tersebut, tinggalkan, cari yang lain dan terbukti halal dan bersih.”  – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.