Janggut Saya Panjang, Tapi Bukan Ustaz

Shah Alam – Menyampaikan dakwah bukan hanya kerja seorang ustaz atau ustazah, kata pendakwah muda, Firdaus Wong Wai Hung.

Menurutnya, masyarakat Islam agak liat dalam menyampaikan kebenaran agama Islam kepada orang lain.

Mengimbau tahun-tahun awal pengislamannya, Firdaus mengakui tidak tahu banyak tentang agama Islam kecuali solat dan puasa sahaja.

“Rukun Islam dan Rukun Iman pun saya tak tahu. Sehinggalah tahun 2011 apabila saya dibawa untuk berkenalan dengan guru saya,” katanya ketika berkongsi kisah dengan kakitangan Kumpulan Media Karangkraf melalui program Simfoni Minda Bersama Firdaus Wong Wai Hung, semalam.

Katanya lagi, orang Islam tahu kebenaran agama ini tapi tidak berdakwah.

“Kalau saya tersesat di dalam hutan dan anda adalah satu-satunya insan yang ada peta untuk bantu saya keluar dari situ, adakah anda akan membiarkan saya dibaham binatang buas? Atau anda akan ajak saya sekali? Mana satu anda akan buat? Ajak sayalah kan?

“Jadi, itulah sebenar-benarnya yang harus berlaku. Anda sepatutnya ajak saya kenali Islam.

“Anda tahu Islam agama benar tapi tak sampaikan kepada saya,” katanya lagi.

Firdaus yang juga Pengasas dan Presiden sebuah pertubuhan dakwah Islam, Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu juga menyentuh tentang kurangnya pendedahan dakwah kepada umat Islam di negara ini.

“Dari konteks dakwah itu, adakah ia sesuatu yang wajib atau tidak? Setuju ia wajib? Kita lihat khutbah di Malaysia, setahu saya selama sembilan tahun saya kembali kepada Islam, saya jarang sekali mendengar tentang dakwah. Sedangkan dakwah itu sunah. Dakwah itu apa yang dilakukan oleh Nabi dan Rasul.

“Kita kalau disuruh berdakwah, ada saja alasan diberikan. Antara alasan yang diberikan yang saya sendiri pernah katakan ialah tak ada masa,” katanya yang memeluk Islam sejak berusia 22 tahun.

Beliau yang aktif berdakwah melalui MRM berkata dakwah bukan kerja ustaz atau ustazah semata-mata seiring dengan sabda Nabi Muhammad SAW.

“Kita rasa dakwah itu kena kerja sepenuh masa, dakwah itu kerja ustaz, ustazah.

“Nabi ada kata kerja dakwah itu mesti seorang ustaz atau ustazah? Nabi kata sampaikan walaupun satu ayat. Saya janggut saja panjang tapi bukan ustaz,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.