KOTA KINABALU, 23 April – UMNO Sabah terus menghantar isyarat jelas mengenai keperluan membentuk kerjasama politik yang lebih menyeluruh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sebagai langkah untuk memastikan kestabilan dan kemenangan yang mampan.
Dalam tulisan terbaharu Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, menekankan pentingnya pendekatan strategik dan bersatu dalam menentukan calon serta agihan kerusi dalam kalangan gabungan politik.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu, realiti politik semasa menuntut satu pendekatan inklusif dan pragmatik, terutama di Sabah yang mempunyai landskap politik yang kompleks serta kecenderungan pengundi yang pelbagai.
“Dalam kebanyakan kawasan, hanya satu calon dari koalisi perlu diketengahkan sebagai lambang kesatuan dan kekuatan. Ini akan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa gabungan ini bersedia memimpin dengan mandat jelas,” katanya.
Salleh turut mengingatkan bahawa pertembungan sesama sendiri dalam gabungan boleh membawa risiko besar, termasuk perpecahan undi yang akhirnya hanya menguntungkan pihak lawan.
Bagaimanapun bekas Ketua Menteri Sabah itu memberi gambaran UMNO mungkin mengambil pendekatan seperti PRN 2020, di mana akan berlaku pertandingan “free for All” dalam kalangan koalisi politik bagi beberapa kawasan yang gagal dipersetujui.
“Dalam realiti politik, mungkin ada sebilangan kecil kawasan yang menghadapi cabaran untuk capai kata sepakat.
Ketidaksetujuan ini boleh berlaku sama ada berkaitan parti mana yang sepatutnya diberi laluan, atau siapa calon paling layak berdasarkan kekuatan akar umbi atau kehendak penyokong tempatan,” tulisnya dalam akaun media sosial Facebook malam tadi.
Menurutnya lagi, dalam keadaan tertentu, persaingan mesra secara terkawal boleh dipertimbangkan sebagai penyelesaian terakhir, tetapi hanya di kawasan yang benar-benar memerlukan dan tidak menjejaskan peluang kemenangan gabungan.
“Keputusan membenarkan pertandingan di sesuatu kawasan mesti dibuat secara strategik, berdasarkan data dan analisis politik – bukan tekanan emosi atau tuntutan sepihak. Ia tidak boleh dijadikan amalan biasa,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa semua parti dalam koalisi perlu menunjukkan disiplin tinggi dan komitmen jangka panjang terhadap perpaduan, serta bersedia menerima keputusan rakyat dan meneruskan kerjasama selepas pilihan raya.
“Kesimpulannya, persaingan strategik hanya boleh berlaku dalam keadaan luar biasa dan perlu diurus dengan penuh tanggungjawab serta kepekaan politik,” kata beliau.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 lalu Barisan Nasional (BN), rakan sekutunya daripada Perikatan Nasional (PN)/Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bertembung di 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan DUN Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tanjung Aru, Kapayan, Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Tulid, Sook, Telupid dan Karamunting. -SuaraTV