Azizah masih ahli Pejuang ketika menang Ketua Cabang PKR Jempol

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemilihan bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol dijangka diadakan semula pada hujung minggu ini selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan Azizah Salim Shah dibatalkan.

Pemilihan semula ini dilakukan berikutan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mendapati Azizah masih ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol, sekali gus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mengesahkan perkara itu berkata, Azizah hanya meletakkan jawatan dalam parti Pejuang selepas menang jawatan berkenaan.

“Ini yang saya dapat maklumat semalam. Bagaimanapun, berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam, anggota parti yang menjadi calon pemilihan PKR 2025 dan kemudiannya didapati menjadi ahli parti lain akan digugurkan keanggotaan mereka.

“Jadi MPP memutuskan pemilihan Ketua Cabang PKR Jempol perlu diadakan semula,” katanya di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lapor BH di Seremban.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat tergempar MPP PKR yang diadakan semalam khususnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pemilihan parti itu.

Semalam, MPP memutuskan mana-mana anggota parti yang menjadi calon Pemilihan PKR 2025 dan didapati menjadi ahli parti lain akan digugurkan keanggotaan mereka.

Keputusan dasar itu dibuat menerusi mesyuarat MPP yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dilaporkan berkata, anggota yang terbabit juga akan hilang kelayakan menjadi calon dan terbatal pencalonan mereka.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Menteri Besar dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan terdapat kalangan mereka yang inginkan jawatan dalam parti mendorong mereka bertanding walaupun masih menjadi ahli parti lain.

“Ramai yang inginkan jawatan dari mana-mana (parti) kalau boleh, tetapi apabila kita buat siasatan terperinci, memang sah beliau (Azizah) masih anggota Pejuang ketika menang jawatan itu dan terpaksa keluarkan dia demi keselamatan parti,” katanya.

Aminuddin berkata, pihaknya akan menilai semua ketua cabang dan jika mendapati berlaku kes sama, tindakan sama akan diambil.

“Semalam kita buat keputusan bahawa tidak boleh ketua cabang yang menang ada jawatan dengan parti lain yang mereka sertai.

“Mereka yang membuat bantahan, kita serahkan kepada JPP untuk membuat keputusan kerana ahli masih boleh memberikan maklumat tambahan apa juga yang mereka kemukakan itu,” katanya.

Pada pemilihan peringkat Ketua Cabang PKR Jempol pada 13 April lalu, Azizah menang selepas meraih 450 undi, menewaskan pencabarnya, G Manivanan yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, selepas meraih 248 undi, selain Muhammad Asri Abdullah (83) dan K Mariappan (52).

Penyandangnya, Rebin Birham tidak bertanding mempertahankan jawatan itu dengan seramai 1,028 ahli layak mengundi dengan sebanyak 836 kertas undi dikeluarkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat