Video: ‘Portal Pembangkang Sengaja Putar Belit Isu Agama’

Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim

 

KUCHING – Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusuf menyifatkan pembangkang sengaja memutar belit mengenai isu rasis yang menyentuh sentimen keagamaan.

 

Menurutnya, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah melanggar etika dan nilai murni demi menimbulkan kebencian masyarakat terhadap BN.

 

 

“Itu ada putar belit lagi daripada media yang dikawal oleh pembangkang. Ini yang saya katakan tadi bahawa mereka ini sanggup berbuat apa sahaja sehinggakan meninggalkan etika dan nilai murni di belakang.

 

“Saya yakin rakyat Sarawak bijak dan memahami, apa yang dibawa pihak oleh pembangkang. Mereka cuba menimbulkan perasaan kebencian untuk mempengaruhi pengundi-pengundi kita,”katanya.

 

Menurutnya, beliau percaya ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee tidak memberi ucapan yang menyentuh sentimen keagamaan seperti yang dilaporkan sebelum ini dan menyifatkan Dr Annuar sebagai memperjuangkan hak kesaksamaan.

 

Beliau turut menegaskan, pengundi di Sarawak bijak dan percaya perkara tersebut merupakan ‘kerja’ pembangkang yang sengaja memutar belitkan fakta.

 

“Apa yang penting kita kena mendidik dan memberi kesedaran kepada pengundi supaya berhati-hati dengan apa sahaja yang dikeluarkan di sosial media. Apatah lagi jika kenyataan itu datangnya dari mana-mana kumpulan yang ada hubung kaitnya dengan pembangkang.

 

“Semak, telitikan dan siasat, kerana kebanyakannya adalah sengaja diputar belitkan untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian. Itu matlamat mereka dan jangan terperangkap serta terpengaruh dengan taktik mahupun strategi pembangkang,”ujarnya.

 

Terdahulu, berita bertajuk ‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’ yang dipetik di luar konteks dari ucapan ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee telah menimbulkan kekeliruan ramai.

 

Dr Annuar sebelum ini menafikan berucap demikian dan menyifatkan laporan tersebut sebagai putar belit yang tujuan menimbulkan sentimen keagamaan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.