Video: Sultan Terengganu Murka, Hishamuddin Minta Semua Pihak Bertenang

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa semua pihak supaya bertenang berikutan persoalan terhadap kemungkinan hubungan tegang di antara istana dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai keputusan Sultan Mizan Zainal Abidin yang dilaporkan telah menarik kembali semua gelaran rasmi yang diberikan kepada Razif.

 

 

“Saya minta semua bertenang. Kita belum tau apa perkembangan sebenarnya (Di Terengganu).

 

“Tetapi selaku mantan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, ini bukan satu perkara yang tak pernah kita lalui. Yang penting sekarang adalah untuk pastikan apa dia perkara yang boleh pecah-belahkan kita, kita kurangkan,” kata menteri pertahanan itu selepas pelancaran Program Khidmat Negara 2.0 di KLCC Kuala Lumpur

 

Sementara itu  menurut sumber kerajaan Terengganu besar kemungkinan akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRN Sarawak ekoran krisis tersebut.

 

Sumber yang enggan mendedahkan namanya itu menjelaskan kata sepakat hampir dicapai agar PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

 

Ahmad Razif dikatakan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya yang akan diadakan itu.

 

“Possible (mungkin),” kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ketika diminta mengulas apa yang berlaku di negeri ini.

 

Jumaat kelmarin, Menteri Besar Ahmad Razif hilang semua anugerah kebesarannya apabila Istana Terengganu murka kepada beliau dan meminta agar semua anugerah itu diserahkan.

 

Ia berlaku ketika tidak ada pihak yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu apabila tiga Adun Umno yang diketuai bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said dikatakan menjadi Adun Bebas.

 

BN kini tinggal 14 Adun, PAS (14) manakala PKR (1) dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.

 

8 Mac lepas, Ahmad Said mengemukakan usul tidak percaya kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman namun usul itu ditolak oleh Speaker dari dibahas apatah lagi diundi.

 

Menurut Bernama, Pas Terengganu berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat.

 

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr. Alias Razak berkata, parti itu kini berada pada kedudukan yang sangat kukuh untuk menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya tersebut.

 

Menurutnya, Pas sedia hadapi tentangan sengit Barisan Nasional (BN) dan pendatang baru dalam pilihan raya iaitu Parti Amanah Negara.

 

“Walaupun kali ini Pas bersendirian tanpa PKR dan DAP, dengan keadaan UMNO dan BN yang makin celaru ini, kita yakin kita boleh menang dengan selesa sekali gus menawan semula Terengganu.

 

“Kita telah keluarkan arahan agar jentera di peringkat tertinggi hingga peringkat paling bawah bersiap sedia,” katanya yang juga Adun Bukit Tunggal ketika dihubungi Bernama 18 April lepas.

 

PAS juga sedang menghadapi masalah untuk menang kerana parti itu berpecah membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas pemimpin progresif dan profesionalnya ditewaskan secara blok dalam Muktamar PAS tahun lalu.

 

Walaupun PAS Terengganu masih kuat tetapi sebahagian ahli mereka sudah meninggalkannya untuk menyertai Amanah.

 

Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah sudah meninggalkan PAS dan menjadi Pengerusi AMANAH negeri Terengganu.

 

Beliau disertai oleh beberapa bekas Adun PAS manakala beberapa Adun PAS sekarang dikatakan menyokong Amanah secara diam-diam.

 

Umno juga berpecah di Terengganu. Ahmad Said dan rakan-rakannya dikatakan menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gerakan Selamatkan Malaysia yang berkempen mahu Datuk Seri Najib berundur dari kerusi perdana menterinya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.