Proses Penamaan Calon PRN Sarawak Bermula Esok

KUCHING – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) di 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 9 pagi esok.

 

Proses penamaan calon berlangsung selama sejam sehingga 10 pagi di 82 pusat penamaan calon yang terdiri daripada pejabat-pejabat kerajaan, dewan orang ramai, sekolah, maktab perguruan, perpustakaan, rumah rehat kerajaan serta stadium tertutup.

 

Pilihan raya negeri kali ini turut menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri ini.

 

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

 

Pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran DUN Sarawak pada 11 April.

 

Jabatan Meteorologi Sarawak meramalkan cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan pantai termasuk di Kuching, Samarahan, Betong, Mukah dan Bintulu.

 

Menurut jurucakap jabatan itu, suhu dijangka antara 24 dan 35 darjah Celcius.

 

Pada pilihan raya negeri kali ini, terdapat 1.14 juta pemilih berdaftar termasuk 1.11 juta pengundi biasa, layak mengundi pada 7 Mei ini.

 

Selain pengundi biasa, sejumlah 25,022 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan akan turut mengundi pada pengundian awal 3 Mei ini manakala 106 pengundi pos kerana berada di luar negara.

 

Setakat 5 petang semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata sebanyak 971 borang pencalonan telah dijual di seluruh Sarawak.

 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 443 borang dijual di pejabat SPR di sini, 178 di Zon Sibu, 172 (Zon Miri), 124 (Zon Kuching) dan 54 borang di Zon Sri Aman.

 

Pada pilihan raya negeri 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi DUN, dengan DAP menguasai 12 kerusi dan kemudian hilang satu kerusi apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Fong Pau Teck dipecat daripada parti itu ekoran perbalahan dalam parti.

 

PKR memenangi tiga kerusi manakala satu lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.