PKR Protes DAP Letak Calon Di Simanggang

 

Kuching – Perjuangan PKR Sarawak untuk mendapat kuasa autonomi di Sarawak tidak lebih daripada sekadar janji-janji politik yang dimainkan setiap kali menjelangnya pilihan raya negeri.

 

Hakikatnya, setiap kali pertembungan atau permasalahan yang timbul, PKR Sarawak terpaksa menyerahkan kepada PKR Semenanjung untuk membuat keputusan dan mereka akhirnya terpaksa tunduk dan akur dengan dengan keputusan tersebut.

 

Jika sebelum ini PKR terpaksa melepaskan DUN Tasik Biru kepada DAP sehingga membawa kepada peletakkan jawatan bekas Pengerusi PKR Sarawak, Boniface Willy Tumek, perkara yang sama turut berlaku di DUN Simanggang.

 

Setelah bertahun-tahun bekerja keras untuk meletakkan calon mereka, Norina Umoi ak Utot, PKR Sarawak sekali lagi terpaksa berputih mata apabila DAP berjaya meletakkan calon mereka hasil daripada rundingan dengan PKR Semenanjung.

 

Walaupun Baru Bian menegaskan mahu menggunakan kuasa veto sebagai Pengerusi PKR Sarawak, ianya tidak diterjemahkan dengan tindakan apabila mengumumkan 35 calon baru-baru ini yang akan bertanding di kawasan-kawasan bukan ditandingi DAP.

 

Susulan daripada itu, difahamkan PKR tempatan telah membuat protes dengan memasang banner-banner seperti ‘PKR=Yes, DAP=No’, ‘Kamek maok Norina PKR’, ‘Kamek maok PKR di sitok’ dan beberapa banner lain disekitar kawasan tumpuan dan laluan utama keluar masuk ke bandar Sri Aman.

 

Selain itu, mereka juga memasang bendera-bendera seolah-olah menunjukkan PKR tempatan sudah membuat persiapan rapi dan bersedia untuk menhadapi pilihan raya negeri pada 7 Mei depan.

 

Tinjauan SuaraTV mendapati, para penduduk disekitar bandar Sri Aman menjangkakan akan terdapat pertembungan antara DAP dan PKR dalam pilihan raya nanti.

 

Bagi penyokong-penyokong DAP pula, mereka tidak senang dengan perkembangan ini dan merasakan PKR akan ‘langgar’ mereka pada hari penamaan calon 25 April ini.

 

Sekiranya pertembungan ini benar-benar terjadi, sudah tentu ianya akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk memenangi kerusi DUN Simanggang dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.