Bahana Kempen ‘Doktor Google’ Anti-Vaksin, Kes Campak & Ruam Melonjak

PUTRAJAYA ― Kes dan wabak campak dan ruam meningkat di negara ini berikutan tentangan gerakan antivaksin yang menolak pemberian vaksin kerana khuatir ia mengandungi DNA khinzir.

 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ini dibuktikan dengan peningkatan kes itu dari 235 kes pada 2014 kepada 1,402 kes pada 2015.

 

Ini sekali gus menyebabkan Malaysia tidak berjaya mencapai matlamat membasmi campak dan ruam seiring dengan beberapa negara jiran seperti Singapura dan Brunei Darussalam.

 

“Namun, Kementerian Kesihatan tidak akan berputus asas dan terus mendidik, memberi maklumat dan penerangan betul mengenai vaksin dan imunisasi yang perlu diambil oleh bayi dan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Minggu Imunisasi Kebangsaan 2016 di sini, semalam.

 

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan melancarkan sambutan itu yang bertema ‘Lindungi Anak Kita, Lindungi Dunia Mereka, Dapatkan Imunisasi’.

 

Vaksin campak dan ruam diberikan sebanyak dua dos kepada kanak-kanak di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan iaitu pada umur sembilan dan 12 bulan.

 

Dr Subramaniam berkata berikutan tindakan segolongan ibu bapa menolak vaksin, liputan imunisasi menjadi kurang daripada 95 peratus dan merencatkan usaha Malaysia mencapai sasaran membasmi penyakit measles.

 

Sehingga Mac tahun ini, sebanyak 584 kes campak dan ruam telah dilaporkan, yang meningkat sebanyak 461.5 peratus berbanding 104 kes dalam tempoh sama tahun lepas, katanya.

 

“Walaupun ada 15 kematian akibat penyakit cegahan vaksin namun, ia belum dapat dipastikan sama ada kes-kes kematian itu akibat pengambilan vaksin atau tidak,” katanya.

 

Menurutnya punca vaksin ditolak adalah kerana wujudnya ramai “doktor google” dan “doktor yahoo” yang memberi maklumat salah serta mempengaruhi ibu-ibu muda dengan menyifatkan vaksin membawa kesan sampingan, tidak halal dan perubatan tradisional lebih selamat.

 

Statistik kementerian menunjukkan trend penolakan vaksin meningkat setiap tahun, iaitu 470 kes pada 2013, 1,292 (2014), 1,541 (2015) dan lebih 400 sehingga hari ini bagi tahun ini, kata Dr Subramaniam. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.