Annuar Musa Enggan Pertahan Jawatan, Harap Ada Pengganti Presiden KAFA

KOTA BHARU – Bapa pembangunan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola­sepak Kelantan (Kafa) yang akan tamat tempoh tahun ini.

 

Pengumuman terbuka itu dibuat oleh Annuar menerusi akaun Facebook rasminya semalam.

 

Keputusan Annuar untuk mengundur diri berkemungkinan dibuat selepas ada desakan yang mahu beliau digantikan sebagai Presiden Kafa.

 

Annuar berkata, beliau gembira mendengar suara-suara tersebut dan bersyukur kerana akhirnya ada yang mahu menyambung tugas berat yang dipikulnya.

 

“Ini yang telah lama kita harapkan, tapi sampai masa semua tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut. Saya sudah beberapa kali berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob atau mana-mana pemimpin Pas seperti Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Datuk Takiyuddin Hassan untuk ambil alih.

 

“Tahun ini saya harap ada yang sanggup pikul tugas sukarela ini,” katanya dalam entri itu.

 

Annuar memberitahu, mungkin ramai yang tahu tempoh untuk Ahli Jawatankuasa Kafa sedia ada akan tamat secara automatik pada tahun ini.

 

Katanya, mesyuarat agung badan induk itu boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum bulan Disember dan Kafa wajib memilih barisan pentadbiran baharu tahun ini.

 

“Saya harap mesyuarat agung ini dapat disegerakan, lagi cepat lagi baik kerana ada yang tidak sabar untuk bawa masuk presiden dan pentadbiran baharu,” katanya.

 

Annuar mula menerajui Kafa pada tahun 2008 selepas mengambil alih daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaakob. Bermula 2008, Annuar mula membentuk pasukan mantap dan tahun berikutnya beliau membawa masuk beberapa nama besar untuk memperkuatkan pasukan Kelantan antaranya Muhammad Khalid Jamlus, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Norfarhan Mohammad dan Ahmad Azlan Zainal.

 

Sepanjang memimpin Kafa selama lapan tahun Annuar telah mencipta fenomena baharu dalam lapangan bola sepak Kelantan apabila membawa skuad Kijang merangkul kejuaraan Piala Malaysia untuk kali pertama pada tahun 2010.

 

Tahun berikutnya, Kelantan mencipta sejarah lagi apabila me­rangkul kejuaraan Liga Super untuk julung kali dan merangkul tiga piala pada tahun 2012.

 

Selain itu, di bawah kepemimpinan Annuar, Kelantan turut layak ke pertandingan Piala AFC pada 2012 dan 2013.

 

Bagaimanapun pada tahun ini Kelantan, yang dijenamakan semula sebagai pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) berikutan penajaan oleh syarikat Vida Beauty, terumbang-ambing sehinggakan timbul desakan agar Kafa dirombak. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.