SKMM Minta Youtube Buang Foto, Video Berkaitan Alvin Tan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menghantar surat kepada syarikat teknologi, YouTube supaya menurunkan gambar dan video yang dimuat naik blogger kontroversi, Alvin Tan yang didakwa melakukan provokasi melalui media sosial.

 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata selain itu, SKMM juga akan bekerjasama dengan Peguam Negara bagi membolehkan Tan, yang kini berada di Amerika Syarikat, dibawa pulang ke Malaysia.

 

“Pihak SKMM, saya difahamkan telah mengambil tindakan dengan menghantar surat sahaja sebab benda ini berlaku di luar negara.

 

“Mereka (SKMM) minta supaya YouTube menurunkan gambar-gambar dan video daripada Alvin, dan pihak tersebut sedang lakukannya,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

 

Tan dilapor melarikan diri ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan perlindungan politik bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas beberapa kesalahan.

 

Kesalahan itu termasuk mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam serta mempersendakan institusi Raja melalui laman Facebooknya.

 

Terbaharu, Tan memuat naik video yang bertajuk ‘Muslim Call to Prayer-Azan (R&B Cover)’ di laman Facebooknya yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

 

Berhubung pengedaran gambar diubah suai yang menunjukkan sami Tao mengadakan upacara sembahyang mayat seorang pemimpin negara beragama Islam yang tersebar di laman sosial, Jailani berkata SKMM sedang menunggu kertas siasatan daripada polis. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.