PRK Permatang Pauh: Dr Zawawi Mahu Jadi Calon Bebas

PERMATANG PAUH – Dr Abdullah Zawawi Samsudin mahu cuba nasib sekali lagi dengan menawarkan diri sebagai calon bebas untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh.

 

Beliau berkata, kalah atau menang bukan soal penting kerana matlamat utamanya ialah berkhidmat kepada masyarakat.

 

“Saya bertanding dengan matlamat bertunjangkan perpaduan antara masyarakat dan menjadi calon yang mewakili rakyat, bukan mewakili kepentingan sesuatu pihak sahaja

 

“Rakyat kini semakin matang untuk memilih calon pilihan. Biar mereka yang menentukannya,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh di sini semalam

 

Menurutnya, gabungan PR bertelagah dan tiada kesepakatan dalam beberapa isu manakala Umno juga menghadapi beberapa masalah yang menjadi isu.

 

“Kedua-dua masalah ini menyebabkan masyrakat menjadi keliru. Pemimpin harus menonjolkan perpaduan dan inilah nilai yang perlu disemai dalam masyarakat. Sebaliknya politik banyak mengundang perpecahan,” katanya.

 

Ditanya mengenai kekalahannya pada PRU13 di Parlimen Permatang Pauh, beliau berkata soal kalah atau menang bukan masalah pokok.

 

“Matlamat saya ialah berkhidmat untuk rakyat. Yang berlalu biarkan berlalu,” katanya yang memperoleh 201 undi dan hilang wang pertaruhan pada PRU13.

 

Penyandang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 11,721 undi apabila memperoleh 37,090 undi berbanding calon BN, Dr Mazlan Ismail (25,369 undi). – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.