Kerajaan Perlu Tapis Internet, Kata Tun Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengenakan sekatan terhadap penggunaan internet memandangkan perkembangan pesat media sosial ketika ini umpama senjata yang jika tidak dikawal boleh membawa keburukan kepada masyarakat.

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kebebasan menggunakan media sosial telah menjadi satu kuasa yang boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu, justeru aktiviti-aktiviti tersebut perlu dihalang daripada berlaku.

 

Katanya, sekatan itu juga bertujuan menghalang laman-laman web lucah yang semakin banyak di internet daripada diakses oleh rakyat negara ini terutama golongan kanak-kanak serta remaja yang mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat.

 

“Media alternatif sekarang umpama pisau yang boleh digunakan menghasilkan sesuatu yang berguna dan boleh juga disalahguna untuk menjadikan kehidupan menjadi lebih susah.

 

“Sentiasa ada pihak yang cuba menyalahgunakan internet dan sistem komunikasi, mereka tidak menyebarkan perkara-perkara yang baik untuk masyarakat tetapi hanya sesuatu yang buruk,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Media Sosial Dan Masa Depan, Pandangan Daripada Negarawan Berpengalaman dalam program Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2015 di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Shahul Hameed Shaik Dawood dan Naib Presidennya, M. Ezzad Emir.

 

Dr. Mahathir berkata, selepas melihat pelbagai perkara buruk yang boleh dicapai di laman sosial, beliau mengakui kesal kerana tidak melakukan sekatan tersebut ketika masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

 

Jelasnya, kawalan terhadap internet lebih mudah dilakukan daripada cuba memperbaiki kerosakan yang telah menimpa masyarakat kesan daripada terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik.

 

“Semua laman web lucah yang ada sekarang mudah diakses, bayangkan jika kanak-kanak terdedah dengan perkara-perkara ini, mereka akan membesar dengan semua keburukan dan tidak baik untuk masyarakat.

 

“Kerajaan juga perlu memberi fokus kepada pendidikan moral dan unsur keagamaan dalam memastikan rakyat negara ini membesar dengan nilai-nilai murni,” katanya.

 

Sementara itu, menjawab soalan daripada peserta program mengenai Akta Hasutan 1948, beliau berkata, undang-undang tersebut diwujudkan atas niat yang baik dan perlu difahami oleh semua pihak.

 

“Penguatkuasaannya mestilah betul-betul atas perbuatan menghasut bukannya terhadap pihak-pihak tertentu yang banyak mengkritik kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.