Ibu Bapa Sekarang Kurang Manfaat Masa Berkualiti Bersama Anak – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Kandungan semua media alternatif seperti blog dan media sosial perlu ditapis bagi mengekang kebimbangan yang disalurkan menerusi internet, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Bekas perdana menteri itu berkata, orang selalu menyalahgunakan kemudahan internet, menggunakan ia bukan sahaja untuk menyebarkan apa yang baik tetapi juga menyebarkan apa yang tidak sihat untuk masyarakat.

 

“Saya mendengar banyak laman lucah yang mudah untuk diakses oleh generasi muda tetapi tidak mudah untuk kita mencegah kerana mereka sangat teruja dengan cara yang salah.

 

“Tindakan seperti ini boleh menyumbang kepada gejala sosial seperti kes-kes rogol,” katanya semasa memberi ucapan khas pada Sidang Kemuncak Media Sosial dan Blogger Sedunia 2015 di Hotel Berjaya Times Square di sini, hari ini.

 

Sidang kemuncak itu diadakan sempena Minggu Media Sosial Malaysia 2015 bermula Selasa lepas hingga Sabtu ini.

 

Dr Mahathir menegaskan media sosial memberi kesan kepada ciri-ciri individu terutamanya generasi muda yang lebih terdedah kepada media sosial tanpa bimbingan dan kawalan ibu bapa.

 

“Pada masa lalu, jika kita menerapkan nilai-nilai yang baik dalam kanak-kanak, kami bergantung kepada ibu bapa tetapi ibu bapa hari ini tidak menghabiskan masa berkualiti yang banyak bersama anak-anak mereka.

 

“Kanak-kanak membesar dengan belajar daripada rakan mereka dan ini mengakibatkan masalah sosial,” katanya.

 

Menurutnya, semua pengguna internet harus menggunakan media sosial dengan bijak dan bertanggungjawab dengan apa yang mereka kongsikan dengan orang awam menerusi medium itu.

 

“Maklumat dalam media sosial boleh disebarkan ke serata dunia dalam masa sesaat. Media sosial memberikan kita kuasa yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

 

“Semua orang hari ini kini menggunakan media sosial untuk mendapatkan kuasa yang luar biasa tetapi jangan anda membenarkan diri anda tercemar dan rosak dengan kuasa itu,” katanya.

 

Tambahan pula, Dr Mahathir berkata walaupun pengguna internet boleh berkomunikasi secara bebas tetapi mereka berwaspada kerana apa sahaja yang mereka boleh kongsi boleh mengguris perasaan dan sensitiviti orang lain.

 

Misalnya, beliau berkata pengguna internet perlu mengelak daripada menyebarkan isu berkaitan dengan agama yang boleh mendorong kepada insiden keganasan seperti serangan terhadap majalah minggu bercorak sindiran di Perancis, Charlie Hebdo, awal tahun ini.

 

Justeru, Dr Mahathir menasihatkan pengguna internet supaya hanya berkongsi maklumat berfaedah dan tidak menyalahgunakan medium itu untuk menyakitkan hati orang lain. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.