Beri Ruang Orang Muda Berdikari – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata adalah perlu golongan tua memberi ruang kepada golongan muda untuk berdikari.

 

Perdana Menteri berkata, orang muda perlu sentiasa menghormati segala nasihat dan pandangan mereka yang lebih tua kerana luasnya pengalaman mereka, tetapi yang tua juga perlu mempertimbangkan keadaan dan cabaran yang telah berubah di arus peredaran zaman.

 

“Kadangkala yang tua tidak senang dengan cara orang muda sekarang yang berbeza daripada zaman mereka, betul atau salah keputusan dibuat orang muda itu terpulang kepada setiap individu untuk menilai.

 

“Adalah lumrah bagi yang tua bersifat melindungi terhadap yang muda. Namun, apabila tiba masanya untuk melepaskan yang muda untuk berdikari, maka lepaskanlah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam mesej audio dan teks menerusi Facebook dan blog beliau, NajibRazak.com mengenai Golongan Muda dan Tua.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri menceritakan mengenai bagaimana beliau melepaskan anak perempuannya kesayangannya yang baru saja selamat selamat diijabkabulkan baru-baru ini.

 

Najib berkata, sebagai ibu bapa, adalah amat sukar untuk beliau melepaskan anaknya walaupun sudah dewasa.

 

“Meskipun dengan hati yang berat, tetapi bila sampai pada masanya, saya tetap terpaksa melepaskan anak saya untuk berdikari dan untuk mengharungi dunia ini,” katanya.

 

Sehubungan itu, Najib berkata, Wawasan 2020 adalah sebuah visi yang sudah ditetapkan pemimpin terdahulu untuk kesejahteraan generasi masa hadapan.

 

Bagi mencapai cita-cita itu, Najib berkata, generasi baru perlu diberikan ruang secukupnya untuk meneruskan usaha itu.

 

“Susah-senang, turun-naik, pahit-manis perlu dialami sendiri oleh generasi pelapis ini kerana jiwa mereka semakin matang dan kental dalam menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.