Sudan Selatan pemberontak dakwa kerajaan akibatkan kematian

NAIROBI 23 April – Kumpulan pemberontak Sudan Selatan menafikan tuduhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa pihaknya melakukan pembunuhan etnik besar-besar apabila membunuh beratus-ratus orang awam selepas menawan sebuah pekan utama di negara ini pada minggu lalu.

Jurucakap kumpulan pemberontak, Lul Ruai Koang itu sebaliknya menunding jari ke arah pasukan Tentera Sudan Selatan (SPLA) yang didakwanya melakukan perbuatan tersebut.

“Tentera kerajaan dan sekutu mereka yang melakukan perbuatan kejam ini ketika berundur dari pekan Bentiu.

“Dakwaan kumpulan pemberontak mendalangi kejadian itu tidak berasas dan merupakan propaganda murah,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyiasat hak asasi manusia PBB berkata, pemberontak bertindak memburu mereka yang menentang kumpulan itu selepas menawan Bentiu yang menyaksikan kira-kira 200 maut di sebuah masjid.

Koang juga menolak dakwaan PBB bahawa pemberontak menggunakan radio untuk menggalakkan perbuatan merogol ke atas wanita.

“Komander dan kumpulan pemberontak hanya menggunakan radio Bentiu untuk menyiarkan mesej keamanan dan perpaduan bukannya ucapan mencetuskan kebencian,” kata­nya. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.