Hudud: Belum tentu ada sidang khas Dun

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan belum membuat sebarang keputusan sama ada perlu atau tidak untuk mengadakan sidang khas Dun bagi membincangkan cadangan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri akan memikirkannya secara teliti sama ada perlu pihaknya untuk memanggil persidangan khas Dun itu.
 
“Kita lihat kepada kepentingan sama ada perlu kita buat persidangan khas itu pada Jun atau Oktober tahun ini ketika dewan bersidang mengikut jadualnya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Buku Tok Guru-Sebuah Biografi Awal di sini, hari ini.

Turut hadir mantan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
    
Beberapa hari lalu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institut Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan mendesak agar kerajaan negeri mengadakan sidang khas Dun itu bagi membincangkan pelaksanaan hudud secara mendalam dalam kalangan wakil rakyat.
    
Namun Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sidang Dun itu tidak perlu diadakan kerana dewan yang sama telah memutus untuk meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 pada 1993.
    
Sebelum ini juga Mohd Amar berkata, kerajaan Pas Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu akan membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan enakmen berkenaan selewat-lewatnya Disember tahun ini.
    
Sementara itu mengulas buku setebal 250 muka surat hasil tulisan Habibul Izzah Ahmad itu, Ahmad berkata buku itu adalah sebagai rujukan generasi akan datang bagaimana membuktikan seorang ulama mampu menjadi seorang pemerintah.
    
Buku itu dijual RM30 senaskhah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.