KUALA LUMPUR – Warisan sejarah, dinamik politik, potensi bakat baharu dan sokongan pengundi senyap akan menjadi kekuatan Umno di Kedah sekali gus menyangkal dakwaan parti berkenaan akan pupus di negeri itu.
Sambil menyifatkan akar umbi yang kuat serta struktur parti yang mantap, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Hasmuni Hassan berkata, banyak faktor yang meletakkan Umno masih lagi relevan dari semasa ke semasa.
Katanya, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri 2023, hakikatnya tiada satu pun cawangan Umno di negeri itu yang dibubarkan.
“Kekuatan akar umbi tidak mudah dipadamkan dalam satu kitaran pilihan raya sahaja. Gelombang perubahan yang menyaksikan sokongan besar kepada Perikatan Nasional adalah fenomena biasa dalam politik demokrasi.
“Politik adalah permainan dinamik, bukan hitam putih yang tetap. Jika kita melihat sejarah, Kedah pernah dikuasai pembangkang pada masa lalu tetapi Umno bangkit semula dengan kemenangan besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas pendapat mengatakan parti itu akan pupus di Kedah, sambil menyatakan sokongan dan semangat masih sama, namun perlu diolah semula dengan strategi yang lebih relevan.
Katanya, ramai pemimpin muda dalam Umno sedang menonjol di peringkat nasional dan mampu membawa pembaharuan di peringkat negeri.
“Saya berpendapat, dengan strategi komunikasi yang lebih baik, tokoh-tokoh muda ini boleh diketengahkan sebagai wajah baharu Umno Kedah,” lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kelompok pengundi senyap yang mahukan kestabilan tetap menghargai jasa dan peranan parti itu dalam pembangunan negara.
“Ini adalah potensi besar untuk digembleng pada masa akan datang,” katanya.