KUALA LUMPUR – Permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Addendum akan diputuskan 28 April ini.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Terdahulu, Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar melalui penampilan sulung di mahkamah selepas dilantik ke jawatan itu, mengemukakan tujuh persoalan undang-undang yang menurutnya adalah memenuhi syarat bagi kebenaran merayu mengikut Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman (COJA) 1964.
Antara persoalan undang-undang itu ialah, sama ada beban pembuktian mengenai kewujudan keterangan baharu yang dipertikaikan adalah terletak kepada Peguam Negara pada peringkat prosiding kebenaran semakan kehakiman, apabila beliau hanya bertindak mengikut Aturan 53 Kaedah 3(3) (COJA).
Persoalan lain ialah sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak di atas kapasitinya.
Begitu juga persoalan sama ada Najib boleh mengemukakan bukti baharu atau tambahan yang akan mempunyai kesan undang-undang secara langsung atau tidak langsung bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan pada peringkat kebenaran prosiding semakan kehakiman, lapor BH di Putrajaya pada Isnin.
Mohd Dusuki berkata, isu utama semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib adalah membabitkan perkara yang tidak boleh dipertikaikan di mahkamah kerana ia adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Justeru, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan atau mengubah keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam proses pengampunan,” katanya.
Mohd Dusuki berhujah, satu panduan kehakiman dan penjelasan adalah diperlukan dalam menyelesaikan ketidakpastian yang timbul disebabkan oleh perbezaan penanda aras dalam menentukan kebolehterimaan bukti baharu.
Bukti baharu yang dimaksudkan itu ialah afidavit anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Addendum yang diterimanya daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun beliau dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan Pahang.
Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghujahkan bahawa pihaknya tidak mencabar keputusan Lembaga Pengampunan, sebaliknya mempertahankan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pelaksanaannya.
“Kami sebenarnya, mempertahankan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menetapkannya (Titah Addendum).
“Ramai orang berpendapat Lembaga Pengampunan membuat keputusan (untuk tahanan rumah). Itu tidak benar,” katanya.
Muhammad Shafee berhujah, Titah Addendumitu dikeluarkan melalui dekri bertulis dan Peguam Negara harus memberikan bukti.
Mohd Dusuki, bagaimanapun berkata AGC tidak terikat dari segi perundangan untuk mengemukakan bukti yang dipertikaikan.
“Itu sentiasa menjadi pendirian kami,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Addendum pada Januari tahun lalu.
Titah Addendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) kepada Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakimannya.