PETALING JAYA: PAS menegaskan pendiriannya untuk turun ke jalan raya bagi membantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa kerajaan akan menggerakkan himpunan lebih besar bagi mempertahankan akta tersebut.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menegaskan bahawa pihaknya tidak gentar dengan amaran tersebut kerana mereka hanya mahu bersuara dan bukannya melakukan sebarang jenayah.
“Tidak sama sekali (gentar amaran Anwar). Kita tak buat apa-apa jenayah. Kita hanya nak bersuara,” memetik laporan FMT.
Menurut Afnan, himpunan yang bakal dianjurkan PAS akan berlangsung dalam ruang demokrasi dan tetap mematuhi undang-undang sedia ada.
“Kita tak akan hancurkan kereta polis seperti yang pernah dibuat dulu oleh orang yang tidak bertamadun,” tambahnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa tarikh himpunan belum ditetapkan, namun menjangkakan ia akan diadakan selepas Aidilfitri.