JAKARTA- Presiden Indonesia Prabowo Subianto berikrar untuk membanteras amalan rasuah serta manipulasi dalam industri minyak dan gas negara.
Ini susulan sembilan individu, termasuk eksekutif kanan dari syarikat-syarikat subsidiari Pertamina, dinamakan sebagai suspek dalam kes penyelewengan urus niaga minyak mentah dan bahan api.
Ia menyebabkan kerugian negara dianggarkan mencecah 193.7 trilion rupiah (RM58.11 bilion) dari 2018 hingga 2023, lapor Agensi.
Penyelewengan itu menjadi ujian penting terhadap komitmen pentadbiran baharu Prabowo dalam memerangi rasuah, khususnya di sektor tenaga yang lama dilabel sebagai ‘lubuk mafia’.
Kes itu bukan sahaja menyingkap penyelewengan sistematik, malah membuka semula persoalan sama ada tindakan tegas akan diambil terhadap individu berprofil tinggi yang mendapat keuntungan besar daripada rangkaian rasuah itu.
Pada 18 Mac, Pejabat Peguam Negara Indonesia (AGO) menahan tujuh suspek utama, termasuk Kerry Andrianto Riza, anak kepada jutawan minyak, Riza Chalid, yang pernah digelar ‘raja minyak’ oleh media tempatan.
Mereka didakwa mengatur skim yang memaksa kilang penapisan mengimport minyak mentah dan produk petroleum dari luar, walaupun undang-undang menghendaki Pertamina mendapatkan bekalan daripada kontraktor domestik terlebih dahulu.
Siasatan mendapati suspek terlibat dalam kegiatan import yang dimanipulasi antara 2018 dengan 2023, dengan tiga individu daripada syarikat swasta turut didakwa memperoleh keuntungan haram daripada penghantaran minyak tersebut.
AGO mendakwa suspek melanggar peraturan menteri yang mewajibkan minyak mentah tempatan ditapis di kemudahan dalam negara.
Sebaliknya, mereka mendakwa minyak itu tidak sesuai untuk penapisan tempatan, lalu mengeksportnya dan mengimport minyak mentah dari pasaran antarabangsa pada harga lebih tinggi, dengan tujuan meraih keuntungan peribadi.
Untuk memaksimumkan keuntungan, mereka mengenakan caj pengangkutan sebanyak 13 hingga 15 peratus melalui Pertamina International Shipping dan turut mengurangkan kapasiti penapisan secara sengaja, bagi mewujudkan permintaan buatan terhadap bahan api import.
Tambahan pula, bahan api bermutu rendah dengan nilai oktana RON-90 diimport tetapi dicaj kepada Pertamina pada harga bahan api RON-92, sebelum dijual kepada orang awam sebagai Pertamax.
Walaupun mantan Presiden Joko Widodo (Jokowi) pernah menubuhkan pasukan khas anti mafia minyak dan mendedahkan penyelewengan dalam anak syarikat Pertamina, Petral, hanya seorang individu, bekas Presiden Direktur Petral, Bambang Irianto, yang didakwa secara rasmi.
Sementara itu, sumber dalaman Pertamina meluahkan kebimbangan kerana tidak mendapat maklumat jelas daripada pihak AGO berkenaan bahan bukti dan arah siasatan.
“Kami tidak tahu sama ada ini benar-benar kes kukuh atau ada tujuan lain,” kata salah seorang sumber.
Namun Pertamina menegaskan bahawa syarikat itu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memastikan perkhidmatan pengedaran tenaga kepada rakyat berjalan seperti biasa.
Pertamina turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka serta berjanji untuk memperkukuh reformasi tadbir urus susulan siasatan rasuah yang membabitkan pegawainya.
Seorang lagi pegawai kanan berkata: “Kami benar-benar keliru apakah yang sedang dicari oleh penyiasat. Amalan mencampur bahan api untuk mencapai nilai RON tertentu adalah biasa dalam industri ini.”
Pertamina turut mengumumkan bahawa mereka sedang menubuhkan pasukan penilaian dalaman untuk menilai semula semua proses dalaman dan memperkukuh pematuhan tatakelola.
Penamaan Kerry Andrianto, anak kepada tokoh kontroversial Riza Chalid, sebagai suspek turut menimbulkan persoalan politik, memandangkan Riza pernah menjadi penyokong kuat Prabowo dalam pilihan raya presiden 2014.
Pemerhati industri melihat tindakan itu sebagai petunjuk bahawa pengaruh lama Riza dalam urusan minyak import mungkin semakin terhakis, selepas menguasai rantaian bekalan minyak Indonesia sejak era Suharto.
“Jika tindakan ini benar-benar diteruskan hingga ke akar umbi, ia akan menjadi perombakan besar dalam landskap politik tenaga negara,” kata seorang pengimport minyak yang enggan dinamakan.
Namun, ramai masih sangsi sama ada pentadbiran Prabowo benar-benar akan melangkaui penangkapan beberapa individu sahaja dan membongkar keseluruhan rangkaian mafia minyak yang telah berakar selama beberapa dekad. – AGENSI