KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mempertikai kenyataan Presiden MIC Datuk Seri SA Vigneswaran yang menyatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) patut datang berbincang dengan pihak pengurusan kuil berkenaan sebelum menjualnya kepada pihak lain.
Tegas Akmal, memandangkan tanah tapak kuil itu adalah milik DBKL justeru tidak keperluan sebarang pemakluman wajar dilakukan pemilik.
“Tanah milik DBKL nak jual kena beritahu pada orang yang menumpang atas tanah DBKL sendiri?
“Kalau kata dah ada di situ selama 130 tahun, kenapa tiada langsung pihak pengurusan kuil datang berjumpa dengan DBKL menyatakan hasrat untuk membeli atau menyewa tanah tersebut?
“Ini tuan tanah yang dipersalahkan apabila nak jual tanah mereka sendiri,patut orang yang menumpang atas tanah lah yang tanya tuan tanah nak jual ke apa,” tegas Exco Melaka itu.
Menurut Akmal, negara ini ada undang-undang, jadi jangan kita pusing sana pusing sini,bawa ke mahkamah dan selesaikan secara adil di mahkamah.
“Negara ada undang-undang maka hormatilah undang-undang tersebut, fullstop! kata beliau.
Semalam Vigneswaran dilaporkan berkata, DBKL patut datang berbincang dengan pihak pengurusan kuil berkenaan sebelum menjualnya kepada pihak lain.
Isu tanah tersebut menjadi perhatian ramai sejak beberapa hari lalu ekoran tersebar berita mendakwa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan masjid.
Tanah itu kini menjadi milik syarikat Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Trading).
Bagaimanapun di sebalik pertembungan pandangan pelbagai pihak, Jakel Trading memaklumkan pihaknya sedang berunding dengan pihak kuil berkenaan dan memberi jaminan tiada perobohan paksa akan dibuat.