Tukar Gelaran Mat Rempit Kepada ‘Brother Motor’ – Sultan Ibrahim

SERDANG – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencadangkan kepada kerajaan untuk mengubah istilah perkataan ‘Mat Rempit’ kepada ‘Brother Motor’.

Baginda bertitah ia bagi memastikan persepsi orang ramai diubah kononnya imej penunggang motosikal digambarkan sebagai ‘sampah’ masyarakat dan samseng jalanan.

Pada masa sama, baginda bertitah istilah baharu itu secara tidak langsung menunjukkan masyarakat permotoran yang lebih disiplin dan berkhemah.

“Istilah baharu itu dapat memberi gambaran semangat perpaduan peminat motosikal seperti satu keluarga harmoni.

“Bila ada masa pada satu hari nanti, saya (baginda) akan anjurkan satu himpunan untuk ‘Brother Motor’ di negara ini.

“Ingat ‘Brother Motor’, hormati orang lain, jangan guna jalan raya sebagai litar lumba.

“Dahulu, saya (baginda) pernah menegur penunggang motosikal untuk tidak membuat bising di depan Hospital Sultan Aminah di Johor Bahru.

“Apa perasaan jika (anda) mendengar bunyi bising pada tengah malam.

“Ada ‘Brother Motor’ terlantar di katil hospital mengeluh ‘sampai hati lu bising-bising gua kat dalam tengah sakit beb’,” titah baginda ketika berucap merasmikan Jambori Minggu Permotoran Negara (MBW) 2018, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) , di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda berkenan menasihatkan semua penunggang motosikal di negara ini untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Ikut peraturan lalu lintas ditetapkan, pastikan semua yang menunggang (motosikal) ada lesen.

“Sedikit kecuaian boleh menyebabkan cedera parah dan kemalangan maut.

“Sebelum naik motosikal, baca doa, minta (berada dalam keadaan) selamat sepanjang perjalanan,” katanya.

Baginda bertitah banyak kes kemalangan di jalan raya membabitkan anak muda kerana sikap terlalu berani dan memandu kenderaan mengikut perasaan.

“Ibu bapa juga perlu bersikap tegas, jaga tingkah laku anak-anak, jangan benarkan (anak memandu kenderaan) kalau tiada lesen.

“Biar dia (anak-anak) nangis sekarang jangan kita (ibu bapa) nangis kemudian,” titah baginda.

Sejurus titah baginda, Sultan Johor diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Dewan A, MAEPS meninjau koleksi kenderaan peribadi baginda dan tapak pameran motosikal.

Baginda ditemani Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau kemeriahan MBW 2018, malah sempat beramah mesra dengan ribuan pengunjung acara terbabit.

Turut hadir Presiden GPMOTO, Datuk Seri Ab Rauf Yusof. – BH

One thought on “Tukar Gelaran Mat Rempit Kepada ‘Brother Motor’ – Sultan Ibrahim

  • October 22, 2018 at 12:39 am
    Permalink

    Tukar nama sama jer puak2 ni?? Bodoh sombong biul bangang kuat sangat bodoh mcm kayu??? Hukum seberat3 nya jel 30tahun kerja berat .. masyarakat seumur hidup???
    Kgn beri muka???

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.