PM Perjelas Isu 1MDB, GST, Hutang Negara

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil kesempatan sempena majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 dengan menjelaskan tiga isu kritikal yang sering dilontarkan oleh rakyat.

Selain menerangkan siri kejayaan negara dalam laporan berkenaan, Perdana Menteri turut menjawab persoalan yang sering dimomokkan kepada rakyat oleh Pakatan Harapan diketuai DAP iaitu mengenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), hutang negara serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Berhubung isu 1MDB yang sering dijadikan isu oleh kepemimpinan pakatan berkenaan, Najib menjelaskan bahawa kegagalan syarikat itu disebabkan tindakan pihak tertentu yang mempolitikkannya dengan niat mahu menjatuhkan kerajaan yang di­pi­lih secara demokrasi.

Sedangkan kata Perdana Menteri, siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai dua pemimpin DAP iaitu Tony Pua dan Tan Seng Giaw mendapati beliau tidak langsung melakukan kesalahan sebagaimana didakwa sebelum ini.

“Pertamanya, adakah dalam laporan setebal 106 muka surat itu menyatakan duit 1MDB saya curi? Tidak sama sekali.

“Kedua, sama ada PAC kata saya buat kesalahan? Tidak. Dan satu lagi, yang ketiga sama ada duit derma kerajaan Arab Saudi itu duit 1MDB, tidak sama sekali,” tegas beliau.

Menyentuh mengenai dakwa­an yang dibuat kononnya hutang kerajaan berada pada tahap kritikal dan negara bakal muflis, Perdana Menteri menjelaskan nis­bah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) hanya 50.8 peratus sahaja.

Kadar itu, kata Perdana Menteri, jauh lebih rendah berban­ding kemuncak hutang negara dalam sejarah pada 1986 iaitu 103.4 peratus berbanding KDNK.

“Maknanya sebagai sebuah kerajaan, kita telah melakukan perbelanjaan berhemah dan secara bertanggungjawab.

“Kalau nak tengok hutang negara lain, Jepun 240 peratus daripada KDNK, Amerika Syarikat 108 peratus, Singapura 111 peratus, United Kingdom (UK) 89 peratus. Kalau ikut hukum akal logiknya, negara-negara ini patut muflis dulu daripada kita,” jelas beliau.

Berkaitan GST, Perdana Menteri memberitahu, kenaikan harga barang bukanlah disebabkan oleh cukai itu semata-mata.

Beliau berkata, sebanyak 578 barangan meliputi bahan makanan seperti beras, ayam, telur, ikan, sa­yur, roti, minyak masak, buah-buahan, selain petrol, buku, kesihatan, ubat-ubatan tidak dikenakan cukai itu, lapor Utusan

“Sebelum GST diperkenalkan kadar inflasi pada Julai 2008 ialah 8.4 peratus. Sejak GST dilaksanakan, kadar inflasi ialah 2.1 peratus pada 2015, 2.1 peratus pada 2016, 3.7 peratus pada 2017 dan setakat Februari ini, turun kepada 1.4 peratus,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.