MA63 Sabah Terkandung Dalam Manifesto BN – TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa hak rakyat Sabah yang tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sambil mengulangi komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu MA63, katanya beliau menyokong dan mendukung agar mana-mana hak dalam perjanjian berkenaan yang terambil atau terlepas pandang dikembalikan kepada rakyat Sabah.

“Kita tahu, ada yang cuba mempromosikan ‘Sabah For Sabahan’, kononnya MA63 adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh pihak berkenaan. Tetapi, saya mewakili perdana menteri, saya mewakili BN akan memberi jaminan bahawa MA63 akan termasuk dalam manifesto (BN) dan hak orang Sabah akan pasti terus dipertahankan.

“Jangan ingat kerajaan BN tidak ambil peduali tentang MA63. Kerana kita yakin dan percaya dengan komitmen perdana menteri bahawa mana-mana dalam MA63 yang telah terambil ataupun terlepas pandang, pasti dan akan dirundingkan sebab tuntutan orang Sabah seperti tercatat dalam MA63 berhak untuk dipenuhi.

“Kalau itu menjadi isu, dan menjadi keprihatinan BN, apa lagi yang mahu mereka (pembangkang) bangkitkan?,” tanya Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesrah Bersama Penduduk Kota Belud di Kampung Kesapang di Kota Belud semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Ahmad Zahid berkata beliau akan membantu Najib dalam memantau pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan dengan proses pengembalian hak rakyat Sabah dalam MA63 berkenaan.

“Ini adalah kerajaan BN… janji ditepati, kata dikota. Dalam hal janji ditepati dan janji dikota ini, mahkamah rakyat akan menentukan (menilai) jika kami tidak memberi prestasi yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata BN telah mencapai prestasi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara sejak PRU13 berdasarkan manifesto BN pada pilihan raya tersebut.

“Dalam manifesto pilihan raya lalu yang termasuk memberikan jaminan terbaik untuk rakyat Sabah, kami telah melaksanakan 97.6 peratus janji-janji kami dalam manifesto itu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yakin Sabah akan kekal dikuasai BN pada PRU14 berdasarkan kesepaduan dan kerjasama erat parti-parti komponen BN di negeri itu.

Beliau berkata walaupun serangan terus disasarkan kepada kepimpinan BN Sabah terutamanya Musa, namun kerajaan BN tetap teguh sehingga ke hari ini hasil dukungan dan sokongan padu parti-parti komponen BN di Sabah.

“Sejarah di Sabah tidak pernah tidak ada musuh menyerang. Sama ada musuh dari luar atau musuh dari dalam. Setiap kali musim menuai, pasti ada keluang dan kelawar yang datang. Apabila musim menuai atau musim buah, pasti kelawar-kelawar berkeliaran.

“Tetapi, saya menghormati orang Sabah, kerana walaupun kelawar atau keluang malah burung pipit atau sebarang burung cuba memetik buah atau memakan padi, tetapi padi tetap tegak dan pokok buah tetap tegak dan buah tidak dicuri orang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata serangan bertubi-tubi terhadap Musa, yang disifatkannya sebagai ‘pusat graviti’, bertujuan mengganggu-gugat kedudukan pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan pengerusi BN Sabah itu yang telah berjaya membangunkan Sabah dan memakmurkan rakyat negeri ini.

“Jangan anggap Tan Sri Musa sebagai individu.Tan Sri Musa adalah institusi kepemimpinan di Sabah yang utama dan harus kita pertahankan,” tegasnya.

Beliau turut memuji kepimpinan BN Sabah termasuk kabinet negeri yang sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Musa untuk memastikan kerajaan BN terus teguh.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.