Jelajah Pendidikan Bumiputera Diperluas Ke Sarawak

BAGAN DATUK – Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang dimulakan dua tahun lalu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah akan diperluaskan ke Sarawak tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program yang bertujuan mencari pelajar Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membantu mereka melanjutkan pengajian di institusi pendidikan dan kemahiran tinggi termasuk universiti awam akan berakhir pada 2 Mei depan di Miri, Sarawak.

Menurut Ahmad Zahid, langkah itu antara lain bagi meningkatkan status sosial rakyat khususnya yang berada di kawasan luar bandar.

“Ia merupakan langkah untuk mewujudkan peningkatan status sosial pada anak-anak secara langsung akan mempertingkatkan status sosial keluarganya.

“Bukan hanya membabitkan lepasan pelajar di bandar malah kita mahu juga ke kawasan luar bandar yang merupakan kombinasi dan daya usaha pihak dari pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian JPB 2018 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini hari ini yang merupakan lokasi pertama JPB 2018.

Yang turut hadir Menteri mentor program tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Profesor Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar serta Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin, lapor Utusan

Lebih 5,000 pelajar lepasan SPM dari sekitar Bagan Datuk, Teluk Intan, dan Sabak Bernam mengunjungi lokasi pertama JPB 2018 itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.