Skandal Banglo RM1.8 Juta, Guan Eng Hipokrit Kata Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – “Apakah Lim Guan Eng ini umpama peribahasa Melayu mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.”

 

Demikian perumpamaan dilontarkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berhubung keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bercuti sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian banglo di Jalan Pinhorn, George Town.

 

Ibrahim berkata, sebelum ini Guan Eng adalah antara pemimpin DAP paling ‘bising’ mendesak seseorang pemimpin parti lawan bercuti sekiranya terbabit dalam siasatan rasuah.

 

“Keengganannya (Guan Eng) untuk bercuti atau undur diri hanya meletakkan dirinya sebagai cakap tak serupa bikin atau bersifat hipokrit.

 

“Guan Eng mesti tunjuk sikap konsistennya dalam memerangi rasuah atau penyalahgunaan kuasa,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

 

Ibrahim berkata, Guan Eng wajar menunjukkan keikhlasan dengan mengambil cuti dan melantik seorang pemangku untuk jawatan Ketua Menteri yang dikosongkan sementara.

 

Katanya, Guan Eng boleh kembali menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang apabila siasatan SPRM membuktikan beliau bebas daripada sebarang salah laku berhubung pembelian banglo itu.

 

Semalam, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki dilapor berkata, pihaknya menerima sebanyak lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo milik Guan Eng.

 

Sehubungan itu, SPRM bertindak memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen berkaitan berhubung tuduhan rasuah yang membabitkan Guan Eng.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!