Krisis Najib Dan Mahathir, TMJ Pilih Sokong Johor

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan kritikan yang dilemparkan sebelum ini ditujukan kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Tunku Ismail melalui status terbaru di laman Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi berkata, kenyataan berbaur sindiran yang dikeluarkan sebelum ini ditujukan kepada kerajaan persekutuan.

 

“Sila baca dengan teliti apa yang saya katakan. Komen-komen yang saya buat sebelum ini diarahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Saya memberikan komen-komen tersebut untuk memastikan dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar perkara itu tidak berlaku lagi tanpa mengira siapa pemimpin.

 

“Ia tidak ditujukan kepada Tun Mahathir atau kepada sesiapa. Ia ditujukan kepada sistem. Saya tidak menyokong sesiapa yang korup. Saya juga ingin mengingatkan kepada para media agar tidak memutarbelitkan kata-kata saya atau mengambil kenyataan saya di luar konteks,” katanya memetik kenyataan di status tersebut.

 

Tunku Ismail turut menjelaskan tidak menyokong mana-mana pihak berhubung krisis yang melanda antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir.

 

“Faham Tunku. Untuk meredakan keadaan dan persengketaan ini daripada berterusan, antara Dato Seri Najib dan Tun Mahathir, siapa yang Tunku akan berpihak? TMJ: Johor,” jelasnya lagi.

 

Terdahulu putera sulung Sultan Johor itu berkata ekoran krisis perlembagaan yang berlaku ketika pentadbiran Tun Mahathir beberapa insiden telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan untuk memalukan Istana Johor.

 

Majoriti pengikut Tunku Ismail di media sosial sebelum ini mendakwa kritikan tersebut ditujukan kepada bekas perdana menteri itu disebabkan peristiwa hitam tersebut berlaku ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.