Waspada Jualan Rumah Ke Rumah

MARANG – Orang ramai terutama suri rumah dan warga emas dinasihatkan agar berhati-hati dengan jualan langsung dari rumah ke rumah memandangkan ada penjual cuba memaksa pembeli dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

 

Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Terengganu, Mohd Zukee Mohd Ragam berkata, pihaknya pernah mendapat beberapa aduan termasuk membabitkan jualan langsung alat penapis air berharga lebih RM2,000 dan kepala tong gas memasak, yang menjadikan suri rumah dan warga emas di kampung sebagai sasaran.

 

Sehubungan itu, mangsa diminta tampil membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Negeri Terengganu dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) untuk tindakan.

 

“Pengguna perlu berwaspada dengan tawaran dibuat penjual yang datang ke rumah. Kalau boleh, jangan sewenangnya benarkan penjual memasuki rumah untuk memasang peralatan itu.

 

“Sebaliknya, buat penelitian sebelum beli kerana kita bimbang terdapat penjual tidak beretika termasuk membuat pemasangan tanpa kebenaran, lalu memujuk pelanggan membayar secara ansuran,” katanya.

 

Terdahulu, warga emas, Hasmah Mohd, 75, dari Bukit Gasing mengadu kepada Sinar Harian, dia seakan-akan dipaksa membeli penapis air berharga RM2,698 dengan alasan air digunakan di rumahnya tidak bersih.

 

“Lebih teruk lagi, makcik diminta menjelaskan bayaran RM150 sebulan melalui satu nombor akaun bermula pada 29 Mac ini. Sebelum ini, penjual itu turut meminta makcik membayar deposit RM200.

 

“Makcik takut kerana tinggal seorang diri di rumah, sebab itu makcik bayar juga deposit yang diminta walaupun makcik tidak mahu penapis air itu. Malah, penjual itu pasang penapis air walaupun makcik membantah,” katanya.

 

Menurut Hasmah, dia kini dibebani hutang dan perlu membayar ansuran penapis air yang dipasang tanpa kebenarannya, justeru berharap pihak berkaitan dapat mengambil semula penapis air itu.

 

“Makcik tiada tempat untuk mengadu bagi menyelesaikan masalah ini, tambahan makcik bimbang kerana mereka turut mengugut untuk menyaman makcik jika tidak bayar ikut ansuran ditetapkan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.