Umat Islam Bebas Persoal Hudud PAS – Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak salah umat Islam tidak bersetuju atau menolak hukum hudud yang cuba dilaksanakan PAS di Kelantan, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan enakmen sebulat suara tanpa bantahan.

 

Menurut Asri, walaupun umat Islam tidak boleh membantah asas hudud kerana ia merupakan hukum Allah, ‎mereka masih bebas mengutarakan cadangan, pandangan atau “ijtihad” lain.

 

“Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.

 

“Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” kata Asri dalam satu kenyataan di laman blognya semalam.

 

Beliau berkata, umat Islam perlu mengetahui perincian undang-undang syariah itu kebanyakannya tidak wujud dalam Al-Quran mahupun Sunnah.

 

Tambahnya perincian mengenai hudud mungkin terdapat dalam beberapa nas (dalil) tetapi dari segi perbincangan hukum fekah, ia boleh diandaikan pelbagai tafsiran.

 

“Ini yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).

 

“Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar,” katanya.

 

Oleh kerana terdapat pelbagai tafsiran dalam nas tersebut, terdapat perbezaan dalam perincian hukum seperti kadar curian, ‎suasana undang-undang itu dilaksanakan dan sama ada taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, kata Asri.

Pada masa sama, beliau menegaskan pendiriannya menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud tetapi mahu kerajaan PAS itu memberi ruang agar enakmen syariah itu dikaji semula pakar perundangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Katanya, tindakan mengkaji semula enakmen tersebut adalah wajar agar kerajaan Kelantan tidak mengulangi kegagalan pelaksanaan hudud yang pernah berlaku di negara lain seperti di Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan.

“Yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang dibuat oleh mereka, katanya.

 

Asri berkata, Kelantan di bawah pentadbiran PAS harus mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan kekejaman undang-undang seperti berlaku di bawah pentadbiran Taliban dan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

 

“Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.

 

Selepas DUN Kelantan meluluskan pindaan hudud, seorang penyampai radio BFM, Aishah Tajuddin diugut bunuh dan rogol di media sosial kerana dituduh mempersendakan hukum Islam dalam sebuah klip video YouTube.

 

Aishah bagaimanapun berkata beliau tidak berniat mengkritik hudud, dan hanya mempersoalkan keutamaan kerajaan Kelantan ketika masalah pasca banjir di negeri itu masih belum selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.